Liga Arab kecam keputusan AS sokong penempatan haram Yahudi

Iklan
Kecaman dan penolakan itu dibuat para Menteri Luar Liga Arab ketika mesyuarat tergempar di Kaherah semalam. -Foto AGENSI

KAHERAH - Para Menteri Luar Liga Arab semalam mengecam pengumuman dibuat Amerika Syarikat (AS) yang tidak lagi menganggap penempatan haram Yahudi di Tebing Barat sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung, Ahmed Aboul Gheit menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil dan tidak boleh diterima.

Iklan
Iklan

"AS telah kehilangan peranan mereka sebagai perantara neutral antara Israel dan Palestin.

"Seluruh negara Arab perlu mengadakan perbincangan dengan AS sebagai usaha untuk memujuk pentadbiran Presiden Donald Trump bagi mempertimbangkan semula keputusan mereka yang mencabuli Konvensyen Keempat Geneva yang melarang pihak menduduki memindahkan populasi awam mereka ke tanah yang diduduki,” katanya ketika menyertai mesyuarat tergempar di Kaherah.

Iklan

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan juga mengesahkan penolakan Riyadh terhadap kedudukan Washington itu dan menegaskan tentang keperluan mencari penyelesaian yang adil dan komprehensif terhadap isu Palestin.

Menurutnya, penyelesaian isu selama beberapa dekad itu adalah tunjang asas untuk mencapai keamanan yang kekal.

Iklan

"Isu Palestin mendapat perhatian utama Raja Salman. Saudi akan terus menyokong perjuangan mereka,” ujarnya lagi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat itu, para menteri luar terbabit menzahirkan kecaman dan penolakan terhadap keputusan AS itu.

"Ia tidak mempunyai kesan undang-undang dan jelas melanggar resolusi PBB,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada 18 November lalu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengumumkan ia tidak lagi melihat penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur melanggar undang-undang antarabangsa. - Agensi