ASEAN perlu bangun pesawat pengangkut sendiri, kata Tun M

Iklan
Dr Mahathir ketika sidang media bersama pengamal media Malaysia sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 malam ini. - Foto Bernama

BUSAN (Korea Selatan) - ASEAN perlu membangunkan keupayaan pesawat pengangkutnya sendiri untuk mengangkut produk mahal bernilai tinggi, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, barangan bernilai tinggi biasanya diangkut menerusi pengangkutan udara dan industri itu dikuasai oleh syarikat multinasional terkemuka.

Iklan
Iklan

"Kini, banyak barangan tidak lagi diangkut menerusi pengangkutan laut. Kita perlu membangunkan keupayaan pesawat pengangkut yang dimiliki oleh negara-negara ASEAN kerana kita menghasilkan banyak mikrocip dan produk bernilai tinggi lain yang sesuai untuk ini,” katanya kepada media selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, semasa sesi pleno yang membincangkan tentang kesalinghubungan, para pemimpin juga membincangkan tentang pengangkutan kereta api.

Iklan

"Laos adalah negara daratan tidak mempunyai laut, sebagai contoh, tidak mempunyai pelabuhan. Mereka membina pelabuhan daratan mereka dan menghubungkannya ke Vietnam ke laut,” katanya.

Perdana Menteri berkata, China sedang melengkapkan sistem hubungan kereta apinya dan dari Laos, ia akan dihubungkan ke sistem kereta api Thailand yang seterusnya akan dihubungkan juga ke sistem kereta api Malaysia.

Iklan

"Ini adalah cadangan lama kita yang kita perlu mempunyai hubungan kereta api sehingga ke Kunming. Dengan adanya hubungan itu, anda boleh melakukan perjalanan dari Johor Bahru ke Kunming menerusi kereta api. Pengangkutan barangan akan menjadi lebih mudah," katanya. - Bernama