BESTARI JAYA - Jambatan sementara yang dibuka untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal di Kampung Rantau Panjang masih selamat digunakan.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor ketika mengulas isu itu berkata, pihaknya memberi jaminan jambatan sementara masih selamat dilalui pejalan kaki dan motosikal.
"Hasil pemantauan JKR Daerah Kuala Selangor, rebak akibat hakisan sungai yang berlaku bagaimanapun tidak menjejaskan struktur jambatan dan masih selamat untuk dilalui.
"Cuma isu yang dibangkitkan penduduk, mereka mahu kenderaan ringan seperti kereta boleh lalu jambatan ini sedangkan buat masa ini, memang kereta tak boleh lalu lagi.
"Bagaimanapun hasil semakan dengan agensi berkaitan termasuk JKR, mereka akan buat laluan kenderaan ringan selepas menerima kelulusan peruntukan di peringkat negeri dan Insya-ALLAH dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tambang van sekolah pun naik sebab kena pusing jauh]
Sementara itu, Ketua Kampung Rantau Panjang, Nordin Sulaiman Shah, 51, menjelaskan, pihaknya sedia maklum isu hakisan sungai yang semakin teruk sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun pihaknya sudah memanjangkan kepada agensi berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada penduduk setempat.
"Untuk isu ini, saya sudah maklumkan kepada agensi yang terlibat bagaimanapun jawapan yang diberi, mereka memerlukan masa untuk baik pulih iaitu enam bulan.
"Untuk laluan motosikal dan penjalan kaki memang tak ada masalah, cuma untuk laluan kenderaan ringan jika berlaku sesuatu musibah atau kematian memang merumitkan.
"Saya pun merayu kepada pihak berwajib khususnya kerajaan negeri dapat lihat isu kepentingan awam ini supaya kerja baik pulih dapat disegerakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, jambatan yang menghubungkan Jalan Kampung Rantau Panjang, di sini terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan sejak 24 Oktober lalu berikutan berlakunya keretakan akibat mendapan serius.
Jambatan terbabit 'terbelah dua' selepas mendapan dan ditutup bagi mengelakkan insiden tidak diingini bagaimanapun jambatan sementara untuk pejalan kaki, basikal dan motosikal dibuka untuk umum sejak November lalu.
JKR Daerah Kuala Selangor menasihatkan penduduk setempat dan pengguna jalan raya menggunakan Jalan Rawang - Jalan Raja Musa - Jalan Timur Tambahan Bestari Jaya sebagai alternatif.