SELEPAS dua hari membicarakan isu tambak laut di selatan Pulau Pinang, hari ini adalah siri terakhir laporan mengenai kontroversi tambak laut di selatan pulau mutiara itu.
Dalam laporan ketiga ini, memaparkan amaran saintis menegnai impak projek mega tersebut terhadap ekosistem laut.
Saintis memberi amaran projek mega tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) akan menjejaskan habitat ikan pesisir pantai kerana kekeruhan air laut akan menyebabkan haiwan sumber protein itu mencari habitat baharu untuk membiak dan mencari makanan.
Saintis Marin Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Che Abd Rahim Mohamed berkata, sumber yang diambil dari daratan, misalnya, pasir yang mengandungi kandungan kimia akan merosakkan kualiti air laut akibat kehadiran selut.
"Selut akan jadi bahan terampai dalam air dan berkeladak lalu menyebabkan kekeruhan air laut. Akibatnya, ia mengganggu pernafasan ikan.
"Aktiviti menambak juga mengganggu sifat semula jadi air dan ombak laut ditambah pula berlakunya kekeruhan air menyebabkan ikan lari meninggalkan habitat asal dan tempatnya membiak terutama di kawasan paya bakau.
"Kita akan melihat kesan ini paling kurang dalam tempoh lima tahun selepas projek tambakan siap," kata saintis marin yang berpengalaman selama 22 tahun itu.
Sementara itu Pakar Kualiti Air Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak juga berpandangan sama bahawa air laut akan menjadi keruh akibat kehadiran selut yang terhasil berikutan kewujudan bahan terampai dalam air seperti tanah dan sebagainya ketika kerja-kerja tambakan dilakukan.
Dapatkan laporan penuh Bahagian III kontroversi tambak laut ini dalam akhbar Sinar Harian, hari ini.