PENYAKIT alzheimer sangat berkait dengan gangguan progresif yang menyebabkan sel-sel otak merosot dan mati. Penyakit itu juga menjadi penyebab demensia yang paling biasa.
Ia akan mengakibatkan kemerosotan berterusan dalam kemahiran berfikir, tingkah laku dan sosial yang mengganggu keupayaan seseorang berfungsi secara bebas yang biasanya dikaitkan dengan anggapan masyarakat sebagai 'sakit nyanyuk'.
Petanda awal yang mudah tentang penyakit itu lazimnya senang terlupa akan peristiwa mahupun topik perbualan yang baharu saja berlaku.
Andai kata penyakit berkenaan dibiarkan berlanjutan, seseorang yang mengalami alzheimer akan mengalami gangguan ingatan yang teruk sehingga kehilangan keupayaan menjalankan tugas seharian.
Lebih serius, penghidap alzheimer mungkin tidak dapat memahami perkataan yang biasa digunakan, mengenali ahli keluarga malah menjaga diri sendiri.
Kita semua akan tua. Justeru bagaimana untuk mengelakkan penyakit yang dikatakan sering dihidapi golongan berusia itu?
Perkongsian Mayo Clinic pula menekankan, belum ada rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit alzheimer atau mengubah proses penyakit itu di otak.
Peringkat lanjut penyakit tersebut dikatakan menyebabkan komplikasi kehilangan fungsi otak yang teruk seperti dehidrasi, kekurangan zat makanan atau jangkitan malah mengakibatkan kematian!
Justeru apa rawatan berkesan untuk menangani gejalanya daripada bakal menyelubungi seseorang? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif bersama beberapa pakar bagi menjawab persoalan berkaitan.
Dunia penderita alzheimer
AMIR Hamdan, 35, risau dengan perubahan ketara bapanya, Hamdan Rais, 67, sejak beberapa bulan lalu.
Pesara kakitangan kerajaan itu secara fizikalnya kelihatan sihat, tetapi kerap 'hilang ingatan'.
"Biarpun baharu bercakap bapanya akan mengulangi pertanyaan yang sama. Kadangkala saya juga kurang faham apa yang hendak dipertuturkannya.
"Sering juga masalah ingatannya itu menyebabkan bapa saya lupa di mana dia meletakkan barang seperti kunci rumah dan dokumen penting. Jika bertanya pula, emosi mudah berubah, tiba-tiba boleh jadi begitu sensitif," cerita Amir kepada Sihat:Aktif.
Risau dengan keadaannya yang dikhuatiri mempunyai masalah emosi semenjak pemergian ibu tersayang, Amir membawa bapanya itu berjumpa doktor. Hasil diagnosis, Hamdan didapati mengalami alzheimer!
Jika menyingkap dapatan Persekutuan Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI), ADI menjangkakan pesakit alzheimer meningkat daripada 35.6 juta orang pada tahun 2010 kepada 65.7 juta orang (2030) dan 115.4 juta orang (2050).
Statistik dalam negara pula, bancian tahun 2010 menunjukkan Malaysia mempunyai hampir 2.2 juta atau tujuh peratus warga emas.
Jumlah kumpulan usia itu dijangka terus meningkat setiap tahun, malah negara ini diunjur akan menjadi 'negara tua' menjelang tahun 2030, iaitu apabila peratusan warga emasnya mencecah 15 peratus.
Ya, kita biasa mendengar alzheimer yang lazimnya menyelubungi warga emas. Namun, berdasarkan data tadi, adakah penyakit itu 'gejala biasa' yang tidak perlu diambil pusing oleh ahli keluarga terdekat dengan pesakit itu, apatah lagi masyarakat?
Menghuraikan tentang alzheimer, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Geriatrik Psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, Dr Suhaila Mohamad Zahir.
Jejas fungsi otak
Penyakit alzheimer bukanlah proses penuaan yang normal. Ia suatu penyakit yang menjejaskan fungsi otak secara progresif yang membawa kepada penurunan dalam keupayaan otak untuk berfungsi dengan baik dari segi ingatan (memori), penghakiman, penggunaan bahasa, perancangan dan tingkah laku.
Itu merupakan salah satu daripada jenis demensia yang paling biasa ditemui, jelas Dr Suhaila.
Lebih lanjut terhadap tanda-tanda awal penyakit itu pula menurutnya mungkin tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain.
"Namun, gangguan daya ingatan bersifat ringan sebagai contoh lupa tentang nama benda, tempat, kejadian atau kandungan percakapan yang baru berlaku adalah gejala-gejala yang sering berlaku.
"Di peringkat awal, ingatan tentang kejadian yang telah lama berlaku kebiasaannya masih belum terjejas," terangnya kepada Sihat:Aktif.
Antara tanda-tanda awal alzheimer yang lain jelas Dr Suhaila adalah:
- Mempunyai masalah mencari perkataan dan berkomunikasi. Kesukaran mencari perkataan yang betul untuk objek setiap hari adalah satu tanda demensia di peringkat awal. Seseorang yang mengalami demensia boleh lupa perkataan yang mudah seperti ‘cawan’ dan menggantikannya dengan perkataan yang lain atau frasa seperti ‘benda yang digunakan untuk mengisi air untuk minum’.
- Mengalami kesukaran untuk merancang dan penyelesaian masalah serta membuat keputusan yang biasa dilakukan.
- Keupayaan untuk memahami idea-idea abstrak dan menyelesaikan masalah terjejas. Sebagai contoh seseorang yang mengalami alzheimer dementia mungkin terlupa atau tidak memahami bahawa beliau perlu membayar apabila membeli barang.
- Perubahan emosi dan tingkah laku. Boleh berubah menjadi murung, cepat gelisah dan bertukar menjadi cepat terganggu sama ada dari segi percakapan atau tingkah laku. Emosi menjadi lebih sensitif dan cepat berubah-ubah tanpa alasan yang jelas.
- Perubahan dalam personaliti. Boleh menjadi lebih pendiam atau lebih cepat marah.
- Hilang minat dengan kerja dan aktiviti kemasyarakatan.
- Tidur lebih kerap pada waktu siang dan berjaga pada waktu malam.
Sejenis gangguan mental?
Gejala psikologi dan tingkah laku berkait rapat dengan penyakit alzheimer dementia (AD), jelas Dr Suhaila.
Kajian menunjukkan 64 peratus daripada pesakit AD mengalami sekurang-kurangnya satu jenis gejala-gejala psikologi dan tingkah laku dalam konteks demensia.
"Antara gejala psikologi yang boleh berlaku adalah delusi, halusinasi, kemurungan, anxiety dan sukar tidur.
"Sementara gejala tingkah laku adalah seperti percakapan yang agresif, kegelisahan dan berjalan mundar-mandir tanpa tujuan," kata beliau.
Terang Dr Suhaila lagi, gangguan emosi seringkali berlaku di peringkat ringan (mild) pada fasa penyakit AD. Gangguan tingkah laku dan gejala psikosis seperti halusinasi dan delusi sering berlaku dalam kalangan pesakit AD yang berada di peringkat sederhana (moderate).
Pun begitu, apabila penyakit AD itu mengalami progresif ke fasa advance, gejala psikologi dan tingkah laku akan semakin berkurangan.
Siapa 'sasaran' penyakit demensia itu?
AD seringkali dihadapi oleh seseorang yang berusia 65 tahun ke atas. Anggaran prevalens adalah sebanyak lima peratus untuk mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan berganda setiap lima tahun, sehingga melebihi 25 peratus bagi umur 85 tahun ke atas.
Namun ia juga boleh berlaku dalam kalangan yang berumur kurang dari 60 tahun, kata Dr Suhaila.
Seperkara menurutnya, faktor genetik hanya kurang lima peratus daripada kesemua kes-kes AD.
Boleh disembuhkan?
Menjawab tanda tanya itu, terang beliau rawatan yang ada boleh melambatkan proses kemerosotan penyakit, terutamanya pada peringkat ringan atau awal tahap demensia.
"Penting mengenalpasti masalah ini pada peringkat awal kerana masih banyak peluang untuk intervensi tingkah laku dan rawatan dengan ubat.
"Dinasihatkan juga untuk mengamalkan cara hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, senaman konsisten dan mempelajari sesuatu baru yang boleh merangsang minda," katanya.
Mengulas bentuk rawatan yang boleh diberikan jelas Dr Suhaila ia adalah dengan:
1 Ubat-ubatan - Untuk melambatkan proses kemerosotan fungsi kognitif. Ada juga rawatan untuk masalah kemurungan, kegelisahan dan psikosis.
2 Kognitif stimulasi - Intervensi stimulasi kognitif seperti terapi reminiscent, kerja-kerja kraftangan, padanan perkataan dan gambar sama ada secara individu atau berkumpulan boleh membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan aspek komunikasi pesakit. Sebaiknya, intervensi stimulasi itu berpadanan dengan tahap keupayaan pesakit.
3 Intervensi tingkah laku - Kenal pasti apakah perkara atau situasi yang menyebabkan tercetusnya gejala tingkah laku tersebut. Itu kerana kebanyakan masa, situasi yang mencetus gejala boleh diubah atau diperbaiki agar mengurangkan gejala tingkah laku itu.
4 Terapi psikologi penjaga pesakit - Dalam merawat pesakit AD, kesihatan mental keluarga yang menjaga pesakit juga diambil kira. Terapi sokongan dan intervensi psikologi boleh diberikan kepada ahli keluarga atau penjaga yang memerlukan.
Mencegah
Masih berkisar tentang rawatan, Pakar Bedah Saraf, Pusat Perubatan MSU, Prof Dr Badrisyah Idris pula berkongsi, gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan bagi mencegah masalah darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti serta senaman dapat menjauhkan alzheimer.
Aktiviti seperti membaca, bermain alat muzik dan permainan yang memerlukan daya pemikiran boleh mencegah kemerosotan daya kognitif, katanya.
"Antara yang berpotensi untuk meningkatkan risiko mendapat alzheimer adalah termasuk darah tinggi, kencing manis dan obesiti, kecederaan kepala, penyakit kemurungan dan ketagihan nikotin.
"Rawatan untuk penyakit ini adalah termasuk ubat-ubatan untuk masalah kognitif dan mengawal tingkah laku yang agresif," jelas Dr Badrisyah lagi.
Terangnya, komplikasi biasa disebabkan oleh ubat-ubatan itu pula adalah loya dan mengantuk.
Selain itu, selari saranan Dr Suhaila ujar beliau, rawatan lain untuk penyakit alzheimer adalah psikososial iaitu mengawal masalah emosi, tingkah laku dan kognitif penghidapnya.
Terdahulu, menurutnya alzheimer disebabkan oleh kemerosotan saraf otak yang berfungsi untuk daya kognitif.
Kemerosotan saraf otak itu boleh disebabkan faktor seperti mempunyai genetik yang berisiko alzheimer, kekurangan ‘acetylcholine’ untuk saraf-saraf otak berhubung dan penghasilan protein-protein yang tidak normal di dalam otak.
"Alzheimer adalah disebabkan oleh kemerosotan daya ingatan atau kognitif. Dengan kata lain, penyakit ini menyebabkan nyanyuk ataupun demensia," katanya.
Ditanya jenis gender lebih dominan mendapat penyakit itu, kata beliau faktor jantina bukanlah satu penyebab kepada penyakit alzheimer.
"Tetapi jangka hayat yang lebih panjang dalam kalangan wanita menjadikan kadar penyakit alzheimer terlihat lebih tinggi buat golongan berkenaan berbanding dengan lelaki," katanya.
'Sakit' ketara waktu senja, ramai sangka ada 'gangguan'
MENJAGA mereka yang mengalami demensia bukanlah sesuatu yang mudah. Pun begitu, ramai ahli keluarga tidak menyedari tanggungjawab yang perlu dijalankan.
Menjaga ahli keluarga yang mengalami penyakit alzheimer bukan sahaja apabila mereka sudah pada tahap yang teruk, sebaliknya setiap tahap penyakit demensia itu ada cabaran tersendiri. Sebenarnya tugas penjagaan tersebut seperti pekerja sepenuh masa.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria berkata, gejala-gejala mereka yang mengalami demensia bukan hanya masalah memori, malahan ia lebih daripada itu dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada penjaga.
"Pesakit juga boleh mengalami perubahan emosi, tingkah laku yang di luar kebiasaan dan juga pengalaman luar biasa. Ada juga yang berfikiran tidak rasional.
"Pesakit boleh bertindak ganas sekiranya permintaan mereka tidak dilayan atau dihalang melakukan sesuatu yang tidak wajar. Selalunya gejala yang dialami semakin ketara pada waktu senja yang menyebabkan ahli keluarga sering mengaitkan dengan gangguan sihir. Sebaliknya perubahan dari siang ke malam itulah yang menyebabkan mereka semakin terkesan!," ujar beliau.
Disebabkan tanggungjawab untuk menjaga mereka yang mengalami demensia besar dan mencabar, selalunya ahli keluarga terutama yang mempunyai ramai adik-beradik akan mengambil tugasan secara giliran.
Ironinya, walaupun tampak seperti satu 'strategi' yang baik, sebaliknya kekerapan berubah tempat tinggal dari satu anak kepada anak yang lain boleh menyebabkan kadar penurunan penyakit nyanyuk itu semakin drastik.
Hal itu kerana setiap kali berpindah rumah pesakit memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu. Ini akan menambah beban kepada otak pesakit demensia, kata beliau.
"Adalah lebih baik dan praktikal, sekiranya pesakit tidak kerap berubah tempat tinggal, sebaliknya tinggal secara tetap di rumah salah seorang anak atau tinggal berseorangan. Anak-anak yang lain hulurkan bantuan kewangan untuk menggajikan pembantu contohnya.
"Lebih penting, anak-anak yang lain akan menggantikan anak yang menjadi carer dan ini boleh mengelakkan anak tersebut tidak stres dan burnt out”," katanya.
Dr Hazli berkata, untuk mereka yang ada demensia; 'less is more'. Kurangkan perkara yang memerlukan otak mereka bekerja keras tetapi elakkan otak langsung tidak bekerja.
"Less is more and less is better than nothing,” kata beliau sebelum mengakhiri temubual.
ANEKDOT
Tahap alzheimer:
Alzheimer dementia boleh dikategorikan kepada tahap ringan, tahap sederhana dan tahap advance.
1) Alzheimer tahap ringan: Antara dua ke empat tahunKebiasaannya berulang-ulang bercakap perkara yang sama, hilang minat dalam perkara yang biasanya diminati, mengalami masalah mencari perkataan, nama atau objek. Mereka juga seringkali hilang barang, mengalami masalah perubahan emosi dan sukar untuk memahami perkara-perkara yang kompleks.
Kebiasaannya mereka masih aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan namun, masalah lupa dihadapi boleh menyebabkan mereka mudah rasa kecewa dengan kehidupan seharian.
2) Alzheimer tahap sederhana: Lebih kurang dua ke 10 tahun. Fasa yang paling lama.Mudah hilang arah walaupun di tempat yang biasa untuk mereka. Mereka boleh menjadi lebih keliru tentang kejadian yang baharu berlaku. Semakin memerlukan bantuan untuk tugasan harian seperti memakai baju atau membasuh. Mereka menjadi lebih mudah bertengkar, mempercayai sesuatu yang tidak nyata, sukar untuk tidur dan sering berjalan mundar-mandir.
3) Alzheimer tahap advance. Fasa itu boleh berlangsung antara satu ke tiga tahun atau lebih.Memerlukan bantuan penjaga sepenuhnya. Mereka mungkin tidak dapat memahami perkataan yang biasa digunakan, mengenali ahli keluarga dan menjaga diri sendiri.