HARI Mesra Pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 2019 yang berlangsung serentak di 14 lokasi seluruh negara Sabtu lalu berjalan lancar dan meriah.
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, program yang masuk tahun keempat itu diadakan untuk meningkatkan perkhidmatan dan mendekati pelanggan di lapangan. Menurutnya, program itu merupakan peluang mempromosi perkhidmatan PTPTN termasuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada masyarakat.
"Untuk mempromosi SSPN bukan mudah dan tidak cukup sekadar iklan tanpa turun padang bertemu masyarakat kerana kesedaran menyimpan itu belum menjadi budaya rakyat Malaysia.
"Namun inilah usaha PTPTN supaya perkhidmatan kami dapat ditambah baik. Selain itu, program dibuat pada November sebagai memberikan peringatan mesra kepada masyarakat untuk menabung di SSPN, agar membolehkan ibu bapa menikmati keistimewaan pelepasan taksiran cukai sebelum tahun berakhir 2019," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Mesra Pelanggan PTPTN peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di Sunway Velocity Mall Cheras di sini Sabtu lalu.
Pelbagai pengisian aktiviti diatur antaranya pertandingan mewarna, puzzle, beyblade, SSPN Got Talent dan Bijak Wang.
Mastura berkata, PTPTN meletakkan sasaran sebanyak 2,000 akaun baharu SSPN dibuka dengan kutipan RM4 juta sempena Hari Mesra Pelanggan 2019.
"Tahun ini PTPTN sasar jumlah bayaran balik pinjaman sebanyak RM2 bilion, sementara simpanan SSPN sebanyak RM1 bilion.
"PTPTN yakin angka itu mampu dicapai sebelum 2019 berakhir melalui program lapangan yang diadakan di kawasan tumpuan selain promosi cabutan hadiah serta rundingan bayaran balik pinjaman," katanya.
Menurutnya, PTPTN sedang giat mempromosikan SSPN melalui Cabutan 15 Tahun SSPN-i dan Cabutan WOW! SSPN-i Plus yang akan berakhir Disember 2019 ini.
"Pelbagai hadiah menarik ditawarkan antaranya wang tunai RM15,151.15 bagi Cabutan 15 Tahun SSPN-i untuk siri satu hingga tiga, disusuli cabutan tahunan yang hadiah utamanya merupakan wang tunai RM151,515.15 berserta hadiah saguhati," katanya.