Empat sekeluarga ditahan kes dadah, senjata api dirampas

Iklan

LAHAD DATU - Polis menahan tujuh individu termasuk empat sekeluarga dan merampas dua senjata api (bakakuk) serta peluru hidup dalam serbuan Op Damn Tokan di dua rumah di Jalan Silabukan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam serbuan pertama jam 7 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Rancangan Silabukan Peringkat 1 itu polis menahan empat sekeluarga terdiri seorang wanita serta tiga lelaki berumur antara 25 hingga 50 tahun.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan di bilik rumah keluarga itu menemukan satu laras senapang patah bakakuk bersama dua peluru dan empat kelonsong peluru terletak di atas lantai di bilik berkenaan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Polis turut merampas dua peket berisi dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.60 gram di rumah berkenaan.

Iklan

"Kesemua tahanan yang juga warga tempatan itu didapati positif dadah jenis Syabu," katanya.

Menurut Nasri, 30 minit selepas itu, pihaknya juga menahan pasangan kekasih iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun serta wanita warga asing berumur 20 tahun di sebuah rumah di Kampung Silabukan Peringkat 1 di sini, bersama selaras bakakuk dan lima butir peluru hidup jenis penabur.

Iklan

"Pasangan kekasih ini juga didapati positif dadah jenis syabu dan memiliki bakakuk yang disembunyikan di dapur rumah," katanya.

Dalam pada itu, Nasri berkata, keenam-enam tangkapan itu akan disiasat sama ada terlibat dengan pemburuan haram hidupan liar di daerah ini.

"Polis akan bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan Sabah dan Pasukan Gerakan Am selari dengan pelancaran Ops Khazanah.

"Kita akan tengok sama ada mereka ini terlibat atau tidak," katanya dan kesemua suspek akan dipohon reman hari ini.

Melalui penemuan senjata itu, pihaknya akan menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, selain Akta Dadah Berbahaya.

Sehingga kini, lebih 10 senjata bakakuk dirampas di daerah ini sejak Januari tahun ini sehingga semalam.

Pada Op Damn Tokan itu, Nasri berkata, turut ditahan seorang lagi lelaki tempatan berumur 20-an di Felda Sahabat 6 dekat sini, serta merampas 0.3 gram dadah.

Sementara itu katanya, sejak Januari hingga semalam polis menangkap 152 individu dengan membuka 122 kertas siasatan bagi kategori bekalan dadah di daerah ini.

"Bagi tempoh sama pihaknya turut menangkap 550 orang bagi kategori memiliki dadah dengan 527 kes siasatan dibuka," katanya.

Nasri berkata, seramai lima orang dibuang daerah bagi kesalahan dadah. - Bernama