JELI - Politeknik Jeli Kelantan (PJK) berhasrat untuk menjadikan politeknik berkenaan sebagai hab ikan air tawar di negeri Kelantan.
Pengarah Politeknik Jeli, Wan Azlan Wan Ismail berkata, kolam akuakultur yang diperkenalkan di PJK akan dikenali sebagai hab ikan air tawar di negeri ini.
Katanya, selain menjadikan PJK sebagai hab ikan air tawar di negeri Kelantan, politeknik berkenaan juga akan memperhebatkan bidang keusahawanan untuk pelajarnya.
"Kita telah ada beberapa kolam ikan tilapia berusia empat bulan, dan kita akan cuba untuk tambah lebih banyak benih ikan air tawar komersial pada masa akan datang secara berperingkat.
"Kajian-kajian terbaharu dalam bidang akuakultur juga akan terus dipergiatkan dan dipertingkatkan selari dengan Revolusi Industri 4.0," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Pelepasan 1,000 benih anak ikan air tawar di kolam akuakultur politeknik tersebut semalam.
Program berkenaan dijayakan PJK dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia serta syarikat Ain Aquaculture Sdn. Bhd.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 1,000 benih ikan siakap air tawar bersaiz tiga inci disumbangkan Syarikat Ain Aquaculture Sdn. Bhd.
Sebanyak 10 buah kolam bersaiz 240 meter persegi setiap satu dijangka akan digunakan bagi aktiviti pembelajaran serta penyelidikan bagi pelajar PJK dalam bidang akuakultur bagi setiap semester.
Sementara itu, pengurus projek, Mohd Naim Firdaus Fauzi berkata, setakat ini terdapat empat kolam ikan tilapia berusia empat bulan dan dianggarkan benih ikan ini dapat dituai selepas empat hingga lima bulan.
"Kami berharap agar PJK akan menjadi hab penjualan benih dan ikan air tawar serta menjadi salah satu pusat latihan dan rujukan aktiviti akuakultur di negeri Kelantan.
"Dalam masa yang sama, ia bertujuan untuk melahirkan usahawan tani di kalangan pelajar," katanya.