Tak perlu agungkan Chin Peng: Tuan Ibrahim

Iklan
Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan pihak tertentu membawa pulang abu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia.

Menurutnya, beliau merasa dukacita dengan situasi tersebut dan menegaskan pemimpin komunis berkenaan tidak perlu diagung-agungkan.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, soal dia dah meninggal dunia, tidak apa lah tapi apa motif? Walaupun hanya abu, mana-mana kebumi pun tak apa tapi sentimen tentera kita, sentimen pegawai polis kita, sentimen orang awam, kita perlu beri perhatian.

"Saya rasa ini tindakan yang tidak ambil kira hati bekas anggota tentera dan polis. Bagi saya, saya sangat berdukacita dan tak perlu diagung-agungkan.

Iklan

"Bayangkan kalau nanti dibina tugu pula, adakan majlis tiap-tiap tahun raikan hari tersebut. Apa akan jadi pada negara kita? Kita tak perlu undur ke belakang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekiranya ada pihak mahu meraikan usaha yang Chin Peng lakukan sebelum ini, beliau menegaskan ia merupakan satu tindakan paling silap.

Iklan

"Apa tujuan? Negara menentang sistem komunis dan perjuangan komunisme ini menyebabkan anggota, orang awam terkorban.

"Kalau balik untuk mengagungkan perjuangan komunis, saya fikir ini satu kesilapan yang paling besar yang dibuat. Kita harus beri perhatian sentimen kita dengan anggota tentera yang berjuang, rakyat yang menjadi mangsa.

"Jangan kita rai dua tiga kelompok, sepatutnya kita harus ambil kira soal itu,” tegas beliau.

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat mendiang Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Penularan berita itu mendapat respon negatif daripada netizen yang mengecam tindakan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Perak

Abu Chin Peng: Mat Sabu tunggu kenyataan KDN