PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola ternyata lega apabila The Citizens layak beraksi pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara bagi musim ketujuh berturut-turut.
Awal pagi tadi, City menempah tiket awal ke saingan 16 terbaik sekalipun hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 dengan Shakhtar Donetsk di Stadium Etihad.
Biarpun beraksi di hadapan penyokong sendiri, anak-anak buah Guardiola dilihat beraksi di bawah tahap sebenar sehingga menyaksikan mereka terlepas mengutip tiga mata penuh.
Bagi Guardiola, keputusan seri itu sudah cukup memuaskan hatinya kerana beliau menyifatkan Shakhtar sebagai lawan yang sukar untuk dijinakkan.
"Shakhtar mempunyai kualiti tersendiri. Sudah banyak kali saya beraksi dengan Shakhtar dan mereka tampil sebagai satu pasukan yang tersusun dan efektif.
"Apapun kami telah layak (ke saingan kalah mati). Kami juga beraksi dengan sangat baik terutama pada babak kedua. Saingan kumpulan memang sukar tetapi sasarannya ialah mara dan kami berjaya mencapainya,” kata Guardiola.
Ilkay Gundogan terlebih dulu meletakkan City di depan menerusi gol pembukaan pada minit ke-56. Namun, Shakhtar menyentap semangat City apabila Manor Solomon menyamakan kedudukan pada minit ke-69.
Sekalipun sekadar meraih satu mata, City tetap unggul selaku peneraju Kumpulan C selepas Atalanta mencipta kejutan menewaskan Dinamo Zagreb 2-0.