SHAH ALAM - Kesilapan paparan Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima bukan merupakan satu perkara baharu kerana sebelum ini kejadian sama pernah berlaku di dalam satu kejohanan sukan taekwondo sejak 2014.
Perkara didedahkan menerusi penganjuran CK Classic International Open Taekwondo Championship dengan kesilapan paparan Jalur Gemilang pada gegantung acara tersebut.
Malah dalam satu hantaran Facebook bagi mempromosikan acara itu yang dijangka berlangsung pada 14 hingga 16 Ogos 2020 juga menunjukkan paparan Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima dan sekali gus menimbulkan pelbagai kritikan di dalam kalangan orang ramai khususnya netizen.
Walaupun hantaran tersebut telah ditarik namun persoalannya mengapa ianya berlaku.
Pengerusi Teknikal Taekwondo Malaysia, R Dnaraj berkata, pihaknya mengaku perkara itu di bawah kawalan Taekwondo Selangor dan tindakan segera telah diambil untuk menjelaskan isu berkenaan.
"Pihak kami telah dihubungi pejabat Pesuruhjaya Sukan pada pagi ini dan saya telah meminta pihak berkenaan untuk menjelaskan tentang apa yang berlaku. Mereka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat," katanya seperti dilaporkan oleh The Star Online hari ini.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan isu Jalur Gemilang dengan lima bintang kerana kejadian itu pernah dikaitkan dengan seorang menteri daripada Barisan Nasional (BN) yang pernah dijemput merasmikan program sama pada 2017.
Jelas Najib lagi, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo juga sama telah dijemput merasmikan program sama masing-masing pada 2019 dan 2018.
"Sebab itu, saya rasa isu bendera bintang lima bucu ini tidak patut dipolitikkan lagi. Page-page penyokong PH (Pakatan Harapan) pun perlu berhenti menuding jari ke parti MCA atau BN (Barisan Nasional)," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Semalam, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memohon maaf atas penggunaan paparan Jalur Gemilang dengan bintang bucu lima ketika pembukaan Piala Lum Mun Chak MABA kali ke-28 pada Ahad lalu sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai.