Musa Aman berjaya dapatkan pasport

Iklan
Hakim membenarkan pasport Musa dilepaskan bermula 15 Januari hingga 10 Februari depan dan diarah memulangkan semula pasport itu pada 11 Februari.

Musa Aman berjaya dapat pasport

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk mendapatkan semula pasportnya dari mahkamah bagi mendapatkan rawatan di luar negara.

Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport Musa dilepaskan bermula 15 Januari hingga 10 Februari depan dan diarah memulangkan semula pasport itu pada 11 Februari.

Iklan
Iklan

Rozina turut memberikan syarat di mana Musa perlu melapor diri dengan kedutaan Malaysia di London, United Kingdom dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura antara 23 Januari hingga 8 Februari.

Selain itu, Musa juga dilarang pergi ke negara lain selain United Kingdom dan Singapura atau wang jaminan akan dirampas sekiranya terdapat laporan pergerakan lain selain dari dua negara terbabit.

Iklan

"Jika tertuduh ke negara selain dari UK dan Singapura wang jaminan akan dirampas. Penjamin mesti bertanggungjawab terhadap tertuduh," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Permohonan pasport Musa Aman diketahui Isnin]

Iklan

Dalam pada itu, Rozana turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran agar jumlah ikat jamin dinaikan sebanyak 10 peratus iaitu RM200,000 dengan jumlah ikat jamin tambahan itu akan dipulangkan semula selepas tertuduh pulang ke Malaysia.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula 20 Februari depan.

Musa, 67, sebelum ini diikat jamin RM2 juta melalui dua penjamin selepas mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta (RM263 juta).

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 35 Musa sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah didakwa telah secara rasuah memperoleh AS$63.3 juta (RM263 juta) untuk dirinya daripada lapan individu yang merupakan pemilik konsesi iaitu Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Hen, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon melalui pelbagai akaun sebagai dorongan untuk memberi kontrak konsesi balak terhadap 16 buah syarikat.

Syarikat-syarikat itu ialah Syarikat Bountiful Returns Sdn Bhd, Syarikat Segar Tepat Sdn, JV Lestari Sdn. Bhd, Tamabina Sdn. Bhd, Sabapiorneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn. Bhd, LR Enterprise Sdn. Bhd, Lembah Mayang Sdn. Bhd. dan Fast Progress Sdn. Bhd, Maju Sinar Network Sdn. Bhd, Syarikat Eden Region Sdn. Bhd, Gasing Selatan Sdn. Bhd, Tetap Simfoni Sdn Bhd, Asiatic Lumber Industries Sdn. Bhd. dan Eramewa Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di pelbagai bank di Hong Kong dan Singapura antaranya HSBC Claymore Plaza Singapura, UBS AG Bank, Central Hong Kong, Credit Suisse, Singapura dan Fortis Private Banking Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Kesemua dakwaan dikemukakan dibawah subseksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 tahun dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10, 000 mengikut mana-mama yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.