MELAKA - Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan merangsang dua murid lelaki berusia 11 tahun dengan melakukan kelucahan melampau empat tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Ahmad Muzamil Pandak, 31, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang murid tahun lima di sebuah inap desa di Taman Tasek Utama, Ayer Keroh di sini pada 3 pagi, 24 dan 25 Oktober 2015.
Pertuduhan ketiga dan keempat pula, guru sekolah kebangsaan di Klang itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi murid tahun lima di lokasi sama, pada 2 pagi, 24 dan 25 Oktober 2015.
Tertuduh yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain mengambil kira kedua-dua mangsa merupakan murid kepada tertuduh.
Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan anak guamnya pernah didakwa atas kes sama sebelum ini dan baru sahaja memulakan tugas pada awal November ini selepas digantung kerja.
Hakim Norma Ismail kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu Ahmad Muzamil tidak dibenar kacau ganggu mangsa, keluarga dan saksi pihak pendakwaan dalam kes itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Januari untuk sebutan semula kes. - Bernama