KUANTAN - Menjelang musim cuti persekolahan khidmat kemasyarakatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus diperlukan dalam memeriahkan program berkhatan beramai-ramai.
Kehadiran anggota anggota berceloreng merah ini bukan sahaja dapat membantu meredakan ketakutan kanak-kanak malah menambah kegembiraan dan keterujaan mereka yang bakal bersunat itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, acara mandi sembur air bomba untuk peserta khatan adalah ihsan JBPM sahaja dan ia bukanlah termasuk dalam tugas wajib anggota bomba.
"Ia sekadar memeriahkan majlis dan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang mendekatkan JBPM Pahang dengan komuniti setempat. Malah peluang bersama masyarakat ini juga digunakan JBPM untuk memberi kesedaran kepada kanak kanak tentang mulianya tugasan dan kerjaya sebagai JBPM.
"JBPM bukan sekadar menyelamat tetapi menggembirakan mereka dan menjadi pemudahcara serta pelengkap majlis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya pada tahun ini, hampir keseluruhan balai di 11 daerah di Pahang menerima undangan bagi acara mandi sembur air bomba ini.
Namun katanya, untuk memenuhi jemputan pihaknya akan menimbangkan kesesuaian lokasi, iaitu berhampiran balai dan kesediaan jentera kedua agar tidak mengganggu perjalanan operasi mutlak JBPM.
Terbaharu, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan telah memeriahkan majlis mandi sembur air bomba bagi 30 kanak kanak peserta khatan di Masjid Felda Sungai Koyan 1, semalam.
Katanya seramai lima anggota bomba bersama jentera hadir bagi memberikan khidmat kemasyarakatan tersebut