SHAH ALAM – Tindakan pihak yang sengaja menguar-uarkan kejayaan mereka membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini adalah satu provokasi bahaya.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, provokasi itu menimbulkan kemarahan rakyat serta mencetuskan suasana tidak menentu.
"Tindakan pihak itu juga dilihat satu penghinaan terhadap bekas anggota polis, tentera dan juga keluarga yang menjadi mangsa Chin Peng yang terkesan dengan tindakan lampaunya.
"Keganasan Chin Peng juga berlaku kepada orang-orang Cina,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, pihak terbabit dilihat sengaja mencabar arahan pihak berkuasa yang sebelum ini bertegas melarang Chin Peng mahupun abu mayatnya dibawa pulang ke Malaysia.
"Dia (Chin Peng) dibuang negara kerana dia adalah musuh negara yang banyak melakukan keganasan dan kesengsaraan kepada rakyat di negara ini.
"Keputusan kerajaan sebelum ini wajar kerana dia seorang pengkhianat negara. Jadi bila kumpulan ini bawa balik abu mayatnya, mereka memang sengaja hendak cabar arahan pihak berkuasa dan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara ini,” katanya.
Tegas beliau, perbuatan itu mengeruhkan lagi perpaduan antara kaum yang kini semakin ampuh.
"Provokasi ini sengaja dibuat dan terancang. Ini berlaku disebabkan amalan liberal yang diamalkan kerajaan sekarang berbanding kerajaan terdahulu yang lebih konservatif.
"Disebabkan itulah (amalan liberal) kumpulan ini bebas melakukan apa sahaja walaupun ia melanggar arahan pihak berkuasa,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan dan pihak berkuasa perlu memandang serius perkara itu kerana ia jelas membabitkan perlanggaran arahan negara.
"Rakyat menjadi pemerhati dalam isu-isu sensitif seperti ini. Oleh itu, kerajaan perlu menangani perkara ini dengan serius,” katanya.