Kebajikan bekas polis lebih penting berbanding isu Chin Peng

Iklan
Chin Peng

SHAH ALAM - Soal kebajikan anggota pasukan keselamatan yang terlibat menentang komunis perlu diutamakan berbanding isu membawa balik abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Ketua Penerangan dan Perhubungan Persatuan Bekas Polis Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Baharudin Abu menegaskan, masih terdapat lagi bekas anggota polis yang memerlukan pembelaan daripada pelbagai pihak khususnya rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

"Saya mempunyai rakan-rakan yang mengalami kekurangan anggota badan akibat serangan komunis dan kebajikan mereka sepatutnya dititikberatkan berbanding kita sibuk-sibuk untuk membawa balik abu Chin Peng.

"Walaupun ada pihak tidak kisah mengenai tindakan ini, tetapi bagi kami selaku bekas polis yang pernah berkhidmat dalam mempertahankan negara daripada komunis, saya amat terguris kerana merasakan ia tidak wajar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Baharudin berkata, walaupun ia sekadar abu, tetapi tindakan sedemikian seolah-olah mengabaikan semangat juang para pejuang yang sanggup meninggalkan keluarga dan berkorban demi keamanan tanah air.

"Memanglah kita digalakkan memaafkan sesama manusia, tetapi jika difikirkan kembali kekejaman komunis ini, memang kami tidak boleh lupa, apatah lagi sikap mereka itu telah meragut banyak nyawa anggota polis," ujarnya.

Iklan

Memetik laporan Malaysiakini semalam, abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dipercayai dibawa balik ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya apabila sebahagiannya ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak manakala selebihnya di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.