WISCONSIN - Seorang ibu sanggup mendermakan susu badan yang diperah selama 63 hari kepada bank susu selepas kematian anaknya tiga jam setelah dilahirkan.
Keputusan itu dibuat Sierra Strangfeld, dengan berharap dapat menyelamatkan nyawa bayi lain.
Wanita dari Wisconsin, Amerika Syarikat itu mendermakan lebih 500 auns atau 14.2 kilogram susu ibu di Bank Susu Ibu di Great Lakes Barat.
Menurut laporan TODAY, bayinya yang dinamakan Samuel Lee dilahirkan dua bulan lebih awal iaitu pada 5 September lalu dan meninggal dunia tiga jam kemudian.
Siera berkata, anaknya dikesan mengalami trisomi 18, keadaan genetik yang menyebabkan kecacatan kelahiran yang mengancam nyawa ketika masih dalam kandungan.
Namun, dia bertekad untuk meneruskan kandungan itu.
Selepas kelahirannya, Siera menghabiskan masa tiga jam bersama dengan meletakkan anaknya yang seberat 800 gram di lengannya.
"Saya dapat melakukan sentuhan kulit ke kulit dan kadar denyutan jantung dan oksigennya meningkat dengan segera. Dia seperti tahu bersama ibunya.
"Tiga jam berlalu sangat pantas," katanya.
Dalam masa singkat, Siera kemudian memutuskan untuk mendermakan susunya untuk membantu orang lain.
"Saya tidak dapat mengawal hidup atau kematiannya tetapi saya dapat mengawal apa yang saya lakukan selepas itu," katanya.
Selain itu, terdapat motivasi lain yang mendorongnya mendermakan susu setelah anak sulungnya dilahirkan mengalami 'tongue-tie' iaitu kesukaran untuk menyusu.
Disebabkan itu, dia pernah menerima sumbangan susu ibu selama enam bulan. - Agensi