HULU LANGAT - Bayaran pembelian tanah sudah langsai namun tanah dijanjikan masih belum diserahkan kepada pembeli.
Itu situasi yang dihadapi kira-kira 50 pembeli tanah di Batu 14 Sungai Semungkis di sini apabila pemaju yang juga ahli perniagaan bergelar 'Datuk' gagal menyerahkan tanah dibeli pada 2016 itu kepada mereka.
Wakil pembeli, Mohamad Ali Jalil, 37, berkata, tanah dengan kelengkapan infra di fasa 6 dan 8 itu sepatutnya diserahkan kepada pembeli penghujung 2017 namun sehingga kini pemaju berkenaan yang juga suami kepada seorang artis kelahiran Sabah itu gagal berbuat demikian.
Menurutnya, tanah seluas lebih 4 hektar tersebut dijual kepada 230 pembeli dengan harga serendah RM39,000 sehingga RM68,000 per lot kini terbiar tanpa sebarang projek, malah pemaju masih mendiamkan diri sehingga kini.
"Masa nak beli tanah tersebut, keadaannya cantik dan bersih malah ada jentera yang buat kerja meratakan tanah membuatkan kami yakin untuk membelinya.
"Kami juga ada buat semakan dan dapati pemaju sama tiada masalah. Kami tandatangan perjanjian jual beli dan buat bayaran penuh," katanya.
Mohamad Ali bersama 50 pembeli lain bersama Yayasan Pelindung dan Kebajikan Pengguna Masyarakat Malaysia (YPKPMM) berkumpul meluahkan rasa tidak puas hati di tapak tanah tersebut hari ini selepas pemaju gagal menyerahkan tanah seperti dijanjikan kepada mereka.
Mereka terdahulu membuat laporan polis berkenaan isu berkenaan di Balai Polis Batu 14 Cheras di sini.
Dia berkata, perbincangan sebelum ini juga berjalan lancar dan ahli perniagaan itu ada mencadangkan agar dibentuk persatuan untuk menyelesaikan masalah itu bersama.
"Lepas buat persatuan dia diam lagi, saya telefon dia tak angkat, mesej pun tak balas. Kami dah beri peluang kepadanya dan terpaksa ambil langkah seterusnya bagi mendapatkan hak kami.
"Ada antara kami dah buat laporan polis secara berasingan dan ada juga yang buat tuntutan saman. Kami cuma harap kami dapat tanah kami, isu bayaran lewat serah itu boleh diselesaikan kemudian," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pembeli, Abdul Malek A Rahman, 56 turut menyuarakan kebimbangan selepas tanah dijanjikan belum diterima sedangkan bayaran penuh telah dibuat pada 2016.
"Saya tahu ada penjualan tanah ini melalui iklan yang dipasang sebelum menghubungi wakil syarikat untuk urusan pembelian tanah satu lot berharga RM68,000 dengan membuat pinjaman koperasi.
"Janji tanah dapat lepas dua tahun, tapi sampai sekarang tak dapat apa-apa. Kami berhak ambil tindakan undang-undang," katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden YPKPMM, Datuk Sheeda Romli berharap pihak pemaju tampil mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah pembeli yang belum memiliki tanah.
"Kami akan menunggu reaksi daripada pemaju terlebih dahulu, seeloknya isu ini mahu diselesaikan secara perbincangan sebelum langkah seterusnya diambil atas nasihat panel peguam dilantik.
"Isu sama akan dibawa untuk perhatian pejabat Menteri Besar Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Saya harap isu ini dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini," katanya.