Syabas Hospital Shah Alam, PPUM

Iklan
- Foto Facebook Hopital Shah Alam

SEMINGGU di wad dan sebulan menjalani rawatan susulan di hospital, baru saya sedar – dan insaf – betapa murninya tugas seorang doktor.

Tengah hari itu, dalam kecemasan, saya dikejarkan ke Hospital Shah Alam. Itu kali pertama saya menerima rawatan di hospital kerajaan.

Iklan
Iklan

Biasanya jika ada keperluan saya lebih senang ke hospital swasta yang secara kebetulan hanya sepelaung dari kediaman saya di Bandar Sunway.

Sebaik tiba saya merasakan perbezaan paling ketara antara hospital swasta dengan kerajaan ialah keselesaan. Saya ditempatkan di wad kecemasan dalam keadaan amat tidak selesa.

Iklan

Maklumlah pesakit terlalu ramai, setiap minit ada sahaja pesakit baru tiba dengan pelbagai masalah dan kerenah. Wad sesak, katil tidak cukup.

Saya terpaksa menunggu lebih dua jam untuk mendapat katil. Itu pun sudah kira bernasib baik sebab ada pesakit yang sudah separuh hari bersandar di kerusi menunggu katil.

Iklan

Kerana wad biasa penuh, malam itu saya dikekalkan di wad kecemasan, dalam keadaan serba sesak. Pesakit terus tiba, katil tidak ada. Ramai yang hanya bersandar di dinding.

Walaupun dalam keadaan serba sesak, satu perkara yang menyentuh perasaan saya ialah para doktor dan petugas di wad tersebut amat sabar, gigih dan prihatin.

Jelas sekali doktor dan petugas tidak cukup tangan, setiap saat ke sana ke mari menangani tuntutan pesakit. Ada pesakit yang mengerang, menjerit malah menengking-nengking, tetapi petugas tetap tenang.

Meski pesakit tidak putus-putus tiba dengan pelbagai masalah dan rungutan, para petugas menangani mereka dengan tenang, memberikan apa sahaja rawatan yang termampu.

Hari kedua saya dipindahkan ke wad biasa Hospital Shah Alam. Selama seminggu ditahan di wad, saya dan pesakit lain melihat dan mengalami perkhidmatan cemerlang dan profesional semua kakitangan.

Baik doktor, doktor pelatih, jururawat dan lain-lain petugas bagaikan tidak penat-penat menangani pesakit. Saya tidak tahu bila mereka berehat.

Seingat saya sejak awal pagi sehingga malam mereka sentiasa ada bersama pesakit. Hatta tengah malam dan menjelang subuh pun ada sahaja doktor dan jururawat mengunjungi pesakit.

Hampir setiap dua jam ada sahaja petugas datang ke katil saya untuk menyuapkan ubat, memberi suntikan, mengukur tekanan darah dan lain-lain rawatan.

Mereka tidak tidur dan dengan tekun melayani dan memberi semangat kepada pesakit, tidak kira masa, tidak kira hari. Mulianya tugas mereka!

Saya menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), boleh dikatakan selang sehari bertemu dengan doktor pakar jantung dan pakar buah pinggang.

Beratus pesakit setiap hari berkunjung ke hospital ini dan doktor serta para petugas lain sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh keikhlasan serta kegigihan.

Apabila kita sakit, harapan kita terlalu tinggi terhadap doktor dan petugas hospital. Secara peribadi mereka memberi kekuatan – dan harapan – kepada saya.

Melihat wajah mereka yang tenang sebahagian rasa sakit dirasakan telah hilang. Keikhlasan di wajah mereka memberi keyakinan kepada saya.

Mereka tidak sahaja menawarkan rawatan dan nasihat perubatan, tetapi mereka juga memberi motivasi. Doktor bukan sahaja tahu mengenai ubat, tetapi juga mahir dalam psikologi dan bijak menyelami perasaan pesakit.

Dengan kerja yang tidak mengenal waktu – saya difahamkan setiap doktor kerajaan menangani tidak kurang 20 pesakit sehari – mereka adalah wira sebenar yang tidak didendang.

Para doktor memberikan semangat kepada pesakit dan dalam waktu sama memberi bimbingan dan latihan kepada doktor pelatih. Baru saya tahu tidak mudah untuk melahirkan doktor yang baik dan berwibawa.

Pengalaman berulang alik ke hospital kerajaan dengan jelas mendedahkan saya kepada tanggungjawab dan rasa kemanusiaan sebenar para doktor dan jururawat.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua petugas Hospital Shah Alam dan PPUM yang telah menawarkan rawatan dan keprihatinan kepada semua pesakit.

Baik para doktor, doktor pelatih, jururawat dan lain-lain petugas, hatta pemandu ambulans, teruskan tugas murni dan ikhlas itu untuk kemanusiaan.Percayalah, senyuman ikhlas dan kemesraan anda sentiasa memberi harapan kepada pesakit.