Tuntutan kejayaan dalam pendidikan

Iklan
Kejayaan boleh dicapai apabila diberi peluang untuk melakukan apa yang diminati. - Foto Bernama

BARU-baru ini, kita dikejutkan dengan berita penyerang skuad B-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin yang menerima gaji RM15,000 sebulan apabila ditawarkan tempat untuk beraksi bersama Kelab Divisyen 1 Liga Belgium, KV Kortrijk pada tahun hadapan.

Pendapatan itu belum termasuk elaun tambahan manakala makanan dan penginapan disediakan pihak kelab.

Iklan
Iklan

Luqman yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa hari lalu merupakan pelajar Sekolah Sukan Negeri Pahang (SSNP).

Gaji yang diterima anak muda berbakat besar itu menyamai gaji seorang doktor senior.

Iklan

Situasi ini menunjukkan kejayaan boleh dicapai apabila pelajar diberi peluang untuk melakukan apa yang diminati dan keinginan.

Sudah lama kita mengimpikan satu sistem pendidikan yang bebas daripada diskriminasi, meraikan bakat dan minat pelajar serta mewujudkan persekitaran yang betul-betul mencetus peluang untuk pelajar menggapai bintang.

Iklan

Jauh di sudut hati guru juga mengakui hakikat bahawa kejayaan pelajar tidak boleh dinilai daripada keputusan sekeping kertas setelah ‘dipaksa’ mengambil mata pelajaran yang tidak diminati.

Jika mereka diberi peluang melakukan apa yang dimimpikan, sudah tentu pelajar akan dapat melakukan dengan lebih baik, lebih berjaya dan lebih berinovasi.

Justeru, pengumuman mata pelajaran berpakej oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum KPM), Dr Habibah Abdul Rahim merupakan selangkah ke arah merealisasikan mimpi pelajar.

Dengan adanya rangkaian mata pelajaran elektif dan empat pakej mata pelajaran memberi peluang lebih luas untuk pelajar belajar apa yang mereka minat.

Bagaimanapun, tindakan meletakkan mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi dalam kategori elektif sesuatu yang mungkin akan memberi kesan kepada sekolah sains khususnya Maktab Rendah Sains MARA.

Dikhuatiri kelak tidak ramai yang akan mengambil mata pelajaran yang dianggap sukar itu sehingga kita mengalami penyusutan dalam kerjaya tertentu, khususnya doktor.

Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan, Dr Johari Yap, menyatakan sebelum ini masalah kekurangan doktor telah disuarakan di Parlimen. Perkara ini tidak harus dipandang ringan.

Kini terdapat kira-kira lapan juta pesakit setahun dan 41.3 peratus pesakit luar terpaksa menunggu selama enam jam di bahagian kecemasan hospital disebabkan masalah kekurangan doktor.

Situasi kekurangan kakitangan di hospital dan klinik kerajaan ini berada di tahap yang serius akibat tiada penambahan jawatan bagi doktor, jururawat, pakar farmasi mahupun kakitangan lain.

Keadaan itu menyebabkan doktor sedia ada terpaksa bekerja lebih masa dan jururawat juga perlu bertugas dua syif.

Ditambah dengan pertambahan pesakit, peningkatan beban kerja ini akan menyebabkan keletihan melampau ke atas kakitangan yang terbabit.

Ini juga antara punca meningkatnya kekerapan on call bagi seseorang doktor.

Oleh itu, sekiranya peralihan pelajar ke mata pelajaran lain tidak seimbang, negara akan berdepan dengan masalah lain pula pada satu hari nanti.

* Wan Normi Hasan ialah Editor GPS Bestari