Nisan kerek Jenang unik

Iklan
Norayati masih mengekalkan pembuatan nisan kerek secara tradisional sehingga kini.

MARANG - 'Nisan kerek' dihasilkan pengusaha manisan itu di Jenang di sini, cukup unik kerana ramuan dan pembuatannya yang masih kekal secara tradisional sehingga kini.

Dengan menggunakan dapur kayu api dan teknik mengacau secara manual, pengusaha terbabit juga menggunakan 70 peratus air nira dan hanya 30 peratus gula bagi menjaga kualitinya.

Iklan
Iklan

Salah seorang pengusaha, Norayati Yaakob, 49, berkata, sebanyak tiga hingga empat gelen air nira kelapa diperlukan setiap hari dan diambil dari kebun kelapa dari sekitar kampung berkenaan.

Menurutnya, aktiviti itu bermula jam 9 pagi dengan proses memasak air nira selama empat jam sehingga pekat sehingga boleh dituangkan ke dalam kerek daun mengkuang sebelum disejukkan.

Iklan

"Bekalan daun mengkuang diperoleh secara percuma dengan penduduk yang menghasilkan atap atau tikar mengkuang, kadang-kadang saya mencarinya sendiri di tepi sungai jika perlu," katanya.

Norayati berkata, manisan itu dijual dengan harga RM1.40 sekeping secara borong kepada pelanggan termasuklah kepada peniaga makanan Terengganu di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Iklan

Menurutnya, pelanggan juga tidak terhad dari negeri ini kerana ada juga pelanggan dari luar sanggup ke Jenang termasuklah daripada Kuala Lumpur terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

"Kalau musim perayaan itu dapatlah rezeki lebih sedikit. Purata pendapatan kasar pula adalah sekitar RM3,000 sebulan dan kalau musim perayaan itu dapatlah lebih sikit dari biasa," katanya.