PUTRAJAYA - Bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Taman Seputeh, P Ganapathy mempersoalkan tujuan individu atau pihak tertentu menaja pengangkutan udara mewah Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ke beberapa lokasi di dalam dan luar negara.
Menurutnya, sepanjang mengenali isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah, beliau yakin pemimpin itu tidak berkemampuan untuk menggunakan pengangkutan mewah tersebut.
Satu laporan polis turut dibuatnya Selasa lalu berhubung perkara itu.
Ganapathy mendakwa, Anwar kerap menggunakan pengangkutan udara mewah terbabit bermula September tahun lalu.
Beliau turut mendakwa, Anwar dan ahli keluarganya termasuk adiknya, Rosli telah ke Turki pada Julai hingga 1 Ogos 2018 dengan dipercayai menaiki jet peribadi serta menetap di sebuah hotel mewah di negara berkenaan dan ditanggung ahli perniagaan bergelar Tan Sri.
Dakwanya, beberapa konvensyen PKR di Pahang, Negeri Sembilan, Kedah dan Sarawak dihadiri Anwar pada awal bulan ini menggunakan helikopter dan turut mendakwa Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menggunakan jet peribadi ke Sarawak antara September dan Oktober.
Selain itu, Ganapathy mendedahkan sebuah banglo di Bukit Gasing, Petaling Jaya turut dipercayai dijadikan pejabat dan aktiviti lain oleh Anwar sedangkan premis ibu pejabat PKR sudah ada.
Justeru, beliau memohon SPRM menyiasat perkara tersebut dan pihaknya bersedia menyerahkan pelbagai bukti termasuk resit dan tiket- tiket selain beberapa dokumen kepada SPRM.
Ditanya sama ada tindakannya melaporkan kepada SPRM didorong oleh perasaan tidak puas hati kerana dipecat daripada PKR Julai lalu, beliau menolak dakwaan tersebut.
"Saya mengambil langkah ini atas kapasiti peribadi dan Anwar kerap kali memberi gambaran beliau akan menjadi Perdana Menteri kelapan kelak.
"Satu siasatan terperinci untuk kenal pasti sama ada wujudnya rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Anwar," katanya.