SHAH ALAM - UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat penjelasan mengenai kedudukan sebenar isu berkaitan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September lalu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat penjelasan sebenar siapa, bila dan bagaimana abu mayat Chin Peng boleh dibawa pulang ke Malaysia.
"Penjelasan itu penting untuk rekod dan pengetahuan rakyat. Kita bimbang fahaman komunis akan menular semula di negara ini dan kita mesti menghalangnya.
"Sekadar menafikan dan memberikan alasan tidak tahu abu mayat dibawa pulang adalah tidak memadai kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Anuar menegaskan, kerajaan PH kini dilihat bukan sahaja tidak menghargai perjuangan perajurit menentang pengganas komunis, malah seolah-olah mengizinkan pengiktirafan diberikan kepada mereka.
Katanya, susulan itu, timbulnya kenyataan beberapa pimpinan PH berkaitan perkara ini yang sangat mendukacitakan dan tidak meyakinkan.
"Perlu ditegaskan bahawa tidak harus sebarang percubaan dalam apa juga bentuk oleh sesiapa juga yang boleh ditafsirkan sebagai usaha menghidupkan atau menyemarakkan semula fahaman serta ideologi yang pernah diperjuangkan Chin Peng serta mereka sealiran dengannya.
"Perkara seumpama ini sangat jelas bertentangan dengan Rukun Negara khususnya keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang," katanya.
Beliau berkata, UMNO tidak bersetuju dengan tindakan membawa pulang abu mendiang Chin Peng ke negara ini sejajar dengan keputusan Kabinet ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.
"Mesti difahami, perjuangan komunis di negara ini telah menyebabkan pelbagai penderitaan dihadapi oleh rakyat terutama perajurit dan juga orang awam.
"Bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga India dan Cina serta kaum-kaum lain di Semenanjung Malaysia termasuk di Sarawak," katanya.