Lepas 243 hari hilang, anak Musa Aman lari pintu belakang pula

Iklan

KUALA LUMPUR - Lebih kurang 20 petugas media hampa apabila diminta meniggalkan Parlimen oleh pegawai dan polis bantuan Parlimen selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.

Seawal jam 9.30 pagi petugas media telah menunggu kedatangan Yamani Hafez dan upacara angkat sumpah di luar Kamar Khas di Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Kira-kira 10.05 pagi Yamani Hafez mengangkat sumpah sah sebagai Ahli Parlimen Sipitang di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Ariff Md Yusof manakala kumpulan wartawan sekadar dibenarkan berada di luar Kamar Khas.

Bagaimanapun, ketika menunggu masa untuk menemu bual Yamani Hafez dengan harapan dapat bertanya soalan seperti ke mana wakil rakyat itu menghilang selepas lapan bulan kerajaan baharu dibentuk sejak PRU14, kenapa beliau menghilangkan diri.

Iklan

Penantian petugas media dikejutkan dengan arahan pegawai dan polis bantuan Parlimen yang mengarahkan kami beredar kerana Yamani Hafez tidak akan mengadakan sidang media selepas angkat sumpah.

"Tidak ada sidang media, media semua diminta beredar dari sini (luar Kamar Khas)" kata seorang pegawai Parlimen.

Iklan

Namun, pihak media masih tidak berputus asa masih menunggu sekiranya kelibat Yamani Hafez keluar dari bilik angkat sumpah berkenaan.

Tiba-tiba seorang polis bantuan datang kemudian menengking petugas media yang belum berganjak.

"Dah cakap tak ada sidang media, tunggu apa lagi di sini? Turun... turun sekarang," katanya dengan nada yang keras.

Kehadiran media di Parlimen hari ini untuk majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Sipitang atas undangan Dewan Rakyat namun, tidak sangka menerima layanan buruk seperti ini.

Meskipun dihalau, petugas media masih menunggu di beberapa pintu masuk Parlimen namun, kecewa apabila Yamani Hafez menyusup keluar menggunakan laluan rahsia.

Sebelum berpuas hati dan beredar, petugas media sempat singgah ke Pejabat Speaker Dewan Rakyat untuk memaklumkan insiden yang berlaku namun, kami diminta menemui Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Roosme ketika ditemui menyatakan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pegawai dan polis bantuan Parlimen untuk menghalau media seperti yang terjadi.

Beliau memohon maaf atas insiden yang berlaku.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anak Musa Aman akhirnya angkat sumpah]

Dalam perkembangan lain, Roosme menyatakan Dewan Rakyat sehingga hari ini masih belum menerima surat daripada kumpulan Ahli Parlimen Umno Sabah status keluar parti, termasuk juga Yamani Hafez.