KOTA BHARU - Jabatan Meteorologi Kelantan meramalkan negeri ini tidak akan mengalami banjir besar walaupun menjangkakan tiga sehingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut ini.
Pengarahnya, Rabiah Al Adawiah Zakaria berkata, jabatan itu meramalkan purata hujan pada November dan Disember berada pada paras normal.
"Bagaimanapun, risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai dijangka berlaku berikutan ramalan terhadap kejadian air pasang.
"Kami mengeluarkan amaran di peringkat berwaspada kepada beberapa daerah di negeri ini antaranya Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Machang, Bachok dan Pasir Puteh," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah APM Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Zainuddin Hussin.
Rabiah Al Adawiah berkata bagaimanapun, masyarakat di negeri ini perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran angin kencang dikeluarkan dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian ombak 3.5 meter.
"Sebarang aktiviti berhampiran pantai harus dielakkan termasuk bot kecil yang tidak digalakkan turun ke laut dan orang ramai boleh menyemak maklumat keadaan cuaca menerusi laman web jabatan kami.
"Jika terdapat jangkaan atau ramalan, kami akan keluarkan dari semasa ke semasa dan lazimnya terdapat tiga peringkat amaran," katanya.
Sementara itu, Zainuddin berkata, pihaknya telah bersiap sedia menghadapi banjir dengan keanggotaan dan logistik yang mencukupi.
"Kami mempunyai 4,953 anggota seluruh negeri dilengkapi pelbagai aset termasuk bot dan kenderaan pacuan empat roda yang siap siaga digunakan bila-bila masa.
"Setakat ini, kami mendapat maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran tiada sebarang kenaikan paras air sungai di beberapa kawasan, ia masih di paras normal," katanya. - Bernama