Sindiket judi di Selangor guna 'call center'

Iklan
Fadzil (kiri) dan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe melupuskan set komputer yang dirampas dalam operasi yang dijalankan sebelum ini.

GOMBAK - Modus operandi sindiket perjudian di Selangor telah berubah daripada menjadikan premis sebagai pusat judi kepada pusat panggilan judi dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, dari Januari hingga November tahun ini, seramai 3,470 orang ditahan kerana terlibat aktiviti perjudian dalam talian dan sindiket pusat panggilan judi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 101 warga tempatan dikenal pasti sebagai ketua dan ahli sindiket yang mana mereka telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Kebelakangan ini kalau kita lihat trend perjudian di premis melibatkan alatan seperti komputer dan simulator ini semakin berkurangan, sebaliknya mereka beralih kepada judi dalam talian menggunakan pusat panggilan.

Iklan

"Sejak November tahun lalu kita telah membuat serbuan ke atas pusat panggilan ini. Setiap kali kita buat tangkapan, kita turut merampas komputer dan judi ini tidak lagi dimainkan secara terbuka.

"Jika dahulu mereka menyewa premis untuk meletakkan alatan perjudian. Apa berlaku sekarang ini mereka gunakan satu ruang pejabat sebagai 'calling center' di mana perjudian ini boleh dilakukan secara dalam talian dan boleh bertaruh melalui gajet seperti telefon bimbit," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Iklan
Fadzil (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.

Fadzil berkata, berdasarkan statistik di Selangor bagi tempoh sama, sebanyak 44 serbuan dilakukan ke atas premis pusat panggilan dan daripada jumlah itu seramai 628 orang ditangkap.

"Tangkapan melibatkan warga China seramai 490 orang, warga tempatan (102), warga Indonesia (29), warga Taiwan (5) dan Myanmar (2). Sebanyak 299 komputer, 284 laptop dan 1,491 telefon bimbit dirampas.

"Rampasan bagi wang tunai pula selalunya dalam bentuk angka yang tersimpan dalam komputer tetapi secara fizikalnya memang tidak banyak. Ia tidak sama seperti rampasan ke atas premis yang menyediakan perjudian secara terbuka yang terdapat wang dalam bentuk fizikal," katanya.

Fadzil berkata, seramai 93 orang ahli sindiket telah diambil tindakan di bawah POCA melibatkan warga China seramai 61 orang, warga Indonesia (26), warganegara tempatan (5) dan Myanmar (1).

"Selain pusat panggilan, kita ada lakukan serbuan ke atas kegiatan judi dalam talian. Untuk Januari hingga 26 November 2019 sebanyak 1,158 serbuan dibuat ke atas judi dalam talian dengan 2,842 orang telah ditangkap.

"Jika dibandingkan dengan statistik bagi tahun sebelum ini, ia menunjukkan trend penurunan," katanya.

Mengulas mengenai alatan perjudian yang dilupuskan, beliau berkata, pihaknya menerima arahan untuk melupuskan 7,628 unit peralatan judi yang dirampas sejak 2012 hingga 2018.

"Sebanyak 640 kertas siasatan telah dibuka dan dituduh mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Peralatan yang dilupuskan membabitkan 7,383 mesin komputer, 223 simulator dan 22 tab atau telefon yang digunakan untuk perjudian dengan jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM3 juta," katanya.