Pembaharuan pendidikan Malaysia

Iklan
Gambar hiasan

KEBELAKANGAN ini ada perubahan dasar pendidikan yang diwujudkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik secara khusus untuk pengajian tinggi atau universiti.

Peringkat universiti menjadi peneroka perubahan pendidikan yang sangat utama sempena perubahan global yang semakin mencabar seiring perkembangan revolusi industri 4.0.

Iklan
Iklan

Perubahan drastik di peringkat global tentunya memerlukan respons yang cerdik dan cepat sekiranya teringin boleh turut serta memainkan peranan penting yang boleh bermanfaat untuk kemajuan bangsa.

Perkara ini amatlah menarik untuk diketengahkan ketika Malaysia mencuba untuk mengelakkan diri daripada sekadar menjadi penonton, apatah lagi sekiranya hanya sebagai mangsa perubahan zaman.

Iklan

Menerusi sektor pendidikan, dasar pembaharuan dibuat untuk menjawab cabaran tersebut, sebab diyakini pendidikan sememangnya adalah roh kepada kemajuan bangsa.

Tujuannya tidak lain adalah untuk memartabatkan sistem pendidikan sesuai dengan visi menjadikan ‘pendidikan untuk semua’.

Iklan

Terdapat tiga hala tuju dasar pembaharuan pendidikan di peringkat universiti dan pengajian tinggi di Malaysia yang telah digariskan iaitu (1) pendidikan berteraskan nilai; (2) peningkatan kualiti seluruh sistem dan (3) autonomi dan akauntabiliti untuk universiti.

Pendidikan berteraskan nilai memiliki falsafah yang teramat dalam dan luas ketika kerajaan mengharapkan pendidikan di Malaysia mampu mewujudkan persekitaran yang menyeronokkan untuk proses belajar.

Ada perasaan bahagia ketika pelajar menuntut ilmu kerana cinta terhadap ilmu menjadi bahagian penting dalam proses belajar mengajar kerana boleh melahirkan perasaan mencintai sesama, mencintai masyarakat dan pada akhirnya mencintai negara.

Ia adalah hala tuju utama daripada pendidikan berteraskan nilai tersebut. Hala tuju itu mengandungi nilai falsafah pemaknaan kerana amalannya sememangnya akan membangunkan moral, integriti dan akhlak yang mulia dalam proses pendidikan.

Nilai tersebut memiliki hubung kait dengan hala tuju yang kedua iaitu peningkatan kualiti. Nilai falsafah mencintai akan melahirkan dorongan kuat untuk sentiasa meningkatkan kualiti secara berterusan.

Sebagai asas nilai, hala tuju yang pertama sememangnya diciptakan sebagai tapak yang kukuh bagi pendidikan agar mampu melahirkan arena yang mendokong proses belajar secara menyeluruh.

Ini selari dengan hujah Paulo Freire (2000) bahawa pendidikan merupakan kegiatan memahami makna ke atas realiti yang dipelajari.

Maka pendidikan menuntut kesedaran daripada peserta didik untuk terlibat dalam memahami realiti dunia, tidak sekadar mengumpulkan pengetahuan dan menghafalkannya yang digambarkan sebagai pembelajaran model bank (banking concept of learning).

Namun ia lebih jauh daripada itu iaitu boleh memahami makna dan membaiki kehidupan.

Dokongan

Kedua hala tuju itu pada akhirnya memerlukan dokongan universiti dan tentunya disertai oleh prinsip akauntabiliti yang kondusif.

Kemajuan yang dikembangkan universiti dalam bingkai kelainan akan memiliki warna dan corak tersendiri yang menjadi kekukuhan entiti akademik yang berpengaruh dalam perubahan zaman.

Tentunya pembabitan pihak luar menjadi cabaran tersendiri kepada pihak universiti dan pengajian tinggi kerana kerjasama menyeluruh akan mampu menjawab cabaran realiti dunia. Pihak luar itu tidak lain adalah NGO, pihak swasta ataupun alumni.

Hala tuju ketiga itu selari dengan Quadruple Helix Model (Etzkowits &Leydesdorff, 2000) yang banyak digunakan oleh sistem pendidikan negara maju.

Model tersebut menggambarkan pentingnya kerjasama yang dilakukan antara universiti, dunia industri, kerajaan dan civil society dalam melahirkan knowledge society yang pada akhirnya mampu mewujudkan knowledge production and innovation.

Perkara tersebut perlu kerana kerjasama tersebut sememangnya menciptakan masa depan bersama dan mengendalikan perubahan struktural yang jauh melampaui bidang yang mampu dilakukan oleh pihak masing-masing secara bersendirian.

Apa yang dilakukan Maszlee sudah sepatutnya mendapat sokongan luas sekiranya Malaysia ingin segera turut serta mencorakkan perubahan zaman yang menguntungkan negara secara bermaruah.

Dasar pembaharuan tersebut menjadi amat terang ketika respons kerajaan berlaku secara cepat seiring perkembangan revolusi indusri 4.0. Kerajaan ingin memartabatkan pendidikan menerusi ketiga hala tuju tersebut.

Pendidikan menjadi instrumen penting dalam membangun karakter dan moral yang kini kian terhapus oleh tuntutan kapitalisme global.

Ia seolah-olah menjawab kegelisahan Harry Lewis dalam bukunya Excellence without A Soul (2006) ketika pendidikan di Amerika Syarikat pun mengalami degradasi kualiti moral dan karakter dalam proses belajar di universiti hanya kerana pihak universiti ingin mencapai taraf cemerlang dengan kemampuannya menjawab tuntutan pasar kapitalisme global dan melupakan pentingnya memartabatkan pelajar sebagai manusia sejati dan warganegara yang baik.

Dasar pembaharuan Malaysia secara cantik menterjemahkan kegelisahan Lewis dengan melahirkan hala tuju yang mengarahkan pendidikan untuk semua secara lebih bermaruah.

Di Asia Tenggara barangkali Malaysia golongan berani yang melakukan dasar pembaharuan berbanding negara lain.

Indonesia sahaja baru tahun ini berani menukar menteri pendidikan dengan pola non-mainstream iaitu memilih menteri yang bukan di bidangnya. Cara out of the box itu seolah-olah terinspirasi oleh keberanian Maszlee ketika melahirkan dasar pembaharuan yang filosofis dan responsif terhadap perubahan zaman tanpa harus mengabaikan unsur moral, integriti dan akhlak.

* Dr Yatno Ladqi ialah pensyarah di Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin ( UniSZA)