Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ditubuh tahun depan

Iklan
Liew Vui Keong
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen dijangka dapat ditubuhkan tahun hadapan dalam usaha mempertingkatkan kuasa autonomi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, penubuhan jawatankuasa itu kini dalam peringkat kajian dan penyediaan Rang Undang-Undang (RUU).

"Penubuhan suruhanjaya ini akan dilaksanakan setelah diperhalusi dan dipersetujui oleh kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang ingin tahu bilakah kerajaan akan memperkenalkan semula Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen.

Menjawab soalan tambahan Noor Amin mengenai halangan yang menyebabkan penubuhan suruhanjaya itu tidak dapat dilaksanakan dengan segera, Vui Keong berkata, pihaknya memerlukan masa bagi memastikan penubuhan suruhanjaya itu berjalan lancar.

"Saya dan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof) ada mengadakan beberapa mesyuarat mengenai perkara itu dalam memastikan perjalanannya licin,” katanya. - Bernama