Anggota polis maut dilanggar lari

Iklan
Muhammad Hanif Othman

SITIAWAN - Seorang anggota polis maut dalam kejadian langgar lari membabitkan motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah kereta di KM3 Jalan Sitiawan - Ayer Tawar, berhampiran Taman Nesa, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mangsa berusia 34 tahun merupakan anggota polis Balai Polis Sri Manjung, mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku lebih kurang jam 9.05 malam di mana terdapat dua buah motosikal ditunggang mangsa bersama sebuah lagi ditungang lelaki berusia 41 tahun dari arah sama iaitu Ayer Tawar menghala ke Sitiawan.

"Apabila sampai di KM3 Jalan Sitiawan - Ayer Tawar dipercayai sebuah kereta telah datang dari arah bertentangan dan masuk ke laluan kedua-dua buah motosikal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Iklan

Tambahnya, akibat terlalu dekat, kedua-dua buah motosikal terbabit tidak dapat mengelak lalu dirempuh kereta tersebut dan pemandu kereta berkenaan dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian.

"Akibat pelanggaran itu, anggota polis berkenaan yang menaiki motosikal jenis RX-Z mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala lelaki berusia 41 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 cedera parah dan dikejarkan di Hospital Sri Manjung untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Siasatan masih diteruskan dan sekiranya ada saksi bebas yang melihat kejadian ini, sila hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Nur Athira Ramlan di talian 018-9702345 dan kes di klasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.