BANGKOK - Polis telah mengenal pasti dua individu yang terlibat dalam urusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kedua-dua individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan namun tidak mendedahkan sama ada mereka telah hadir atau belum.
"Apabila kita mendapat jawapan kepada semua ini, Peguam Negara akan memutuskan sama ada terdapat sebarang kesalahan.
"Sehubungan itu, saya minta semua pihak bersabar dan menggunakan kewarasan dalam isu ini. Polis Diraja Malaysia akan menyiasat dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil kumpulan bawa pulang abu Chin Peng
Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.
Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia. - Bernama