Skuad bola jaring negara bermula garang, belasah Brunei

Iklan
543464

Skuad bola jaring negara terus unggul membuktikan status sebagai juara bertahan Sukan SEA, selepas membelasah Brunei 69-23 dalam aksi ketiga pusingan awal, hari ini.

Beraksi di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, di sini, pasukan negara yang menang dua perlawanan sebelum ini, nyata sukar digugat apabila mendahului 17-5 pada suku pertama.

Iklan
Iklan

Brunei cuba memberi tentangan pada suku kedua, namun kehebatan dipamer pemain negara khususnya Norashikin Kamal Zaman, yang bermain di posisi ‘goal shooter’ (GS), banyak membantu Malaysia untuk terus berada di hadapan dengan 26-15.

Biarpun jurulatih negara, Tracey Robinson merehatkan beberapa tonggak utama pada suku ketiga dan keempat, Malaysia tetap garang menoktahkan kemenangan ke atas Brunei, dengan jurang yang besar.

Iklan

Kemenangan itu sekali gus menyuntik motivasi pemain negara yang bakal berhadapan dengan musuh tradisi, Singapura dalam perlawanan keempat pada Jumaat.

Ditemui sejurus tamat perlawanan, Norashikin berharap rakan sepasukan mampu mengekalkan momentum terbaik ketika ini dan fokus dengan setiap strategi yang diatur jurulatih, pada perlawanan akan datang yang dijangka sengit.

Iklan

"Singapura pun bagus juga, sebab mereka pergi ke Kejohanan Dunia. Jadi kami anggap ia sebagai satu cabaran untuk kami hadapi,” katanya.

Sementara itu, Robinson mengakui bakal berhadapan saingan sengit menentang Singapura, namun tetap optimis dengan keupayaan dimiliki anak didiknya.

"Kesemua pasukan benar-benar meningkat daripada Sukan SEA yang lepas. Jadi setiap permainan menjadi cabaran kepada kami. Kami mencuba strategi dan taktik yang berlainan.

"Singapura merupakan lawan yang amat bagus dengan mempunyai pengalaman yang banyak terutamanya apabila mereka telah bermain di Kejohanan Dunia. Kami tidak ada pengalaman itu, dan bersedia untuk itu. Kami belajar beberapa perkara baharu. Dan saya rasa kepelbagaian merupakan salah satu daripada kekuatan kami,” katanya.

Perlawanan menentang Singapura yang juga finalis pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dua tahun lalu, bakal menentukan pasukan yang akan menduduki tangga teratas dalam format perlawanan round robin.

Berdasarkan format perlawanan, pasukan di kedudukan teratas akan bertemu pasukan di tempat keempat, manakala pasukan di tempat kedua akan bertemu pasukan di tempat ketiga, pada peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 1 Disember. - BERNAMA