Basikal lambat dibaiki, kanak-kanak buat aduan polis

Iklan
Basikal kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah dibaiki susulan aduan yang dibuat kepada pihak polis. - Foto Facebook Kerala Police Gambar kecil: Surat ditulis kanak-kanak berusia 10 tahun itu kepada pihak polis. - Foto Facebook Kerala Police

INDIA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari Kerala memutuskan untuk membuat aduan polis gara-gara kelewatan sebuah kedai membaiki basikalnya.

Kanak-kanak bernama Abin itu pergi ke Balai Polis Meppayur bersama sekeping surat tulisan tangan bagi memaklumkan polis tentang hal tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut surat bertarikh 25 November, pelajar sekolah Elampilad UP di Kozhikode itu menyatakan dia dan adiknya menghantar basikal mereka untuk dibaiki di kedai berkenaan pada 5 September lalu.

"Mereka mengambil wang pendahuluan sebanyak 200 Rupee (RM11) namun setiap kali kami menghubungi mereka, mereka sama ada tidak menjawab panggilan atau memberitahu akan membaikinya secepat mungkin," tulis Abin sambil menambah kedai itu tutup pada kebanyakan masa.

Iklan

Menurut kanak-kanak itu, disebabkan tiada orang lain yang dapat pergi meninjau keadaan basikal mereka maka mereka terpaksa menulis surat berkenaan. Dalam suratnya, Abin turut meminta pihak polis untuk mengembalikan basikal mereka.

Susulan aduan tersebut, pihak polis menghantar anggotanya bagi mengetahui punca sebenar kelewatan.

Iklan

Tuan punya kedai dilaporkan terpaksa menutup kedai untuk sementara waktu kerana kesihatan yang tidak mengizinkan dan juga kesibukan menguruskan perkahwinan anak lelakinya namun berjanji akan segera membaiki basikal kanak-kanak itu.

Terkini, pihak polis berkongsi perkembangan kes itu di laman Facebook dan menyatakan basikal kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah dibaiki dan dihantar kepada mereka setelah lebih dua bulan 'tersadai'. - Agensi