Potensi besar sektor agromakanan

Iklan
Wan Azizah dan Salahuddin (dua dari kiri) menyempurnakan simbolik perasmian HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall di Johor Bahru semalam. - FOTO ZAHID IZZANI

JOHOR BAHRU - Sektor agromakanan berpotensi besar dikembangkan sebagai penyumbang utama dalam pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, momentum pertumbuhan sektor agromakanan kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) berhasrat memastikan Malaysia terus membangun dengan mampan melalui pengagi-han ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

"Bagi menjayakan WKB 2030, sektor agromakanan memerlukan pelapis dan generasi muda yang dapat memberikan suntikan semangat baharu kepada pembangunan sektor tersebut.

Iklan

"Ini kerana sektor tersebut dilihat mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada golongan muda, setanding atau lebih baik berbanding dengan profesion yang lain,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Timbalannya, Sim Tze Tzin dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Angsana Johor Bahru Mall di sini semalam.

Beliau berkata, HPPNK 2019 menjadi platform yang mampu menarik minat khususnya golongan muda untuk menceburi sektor agromakanan dan menyemai semangat keusahawanan dalam minda mereka.

Iklan

Menurutnya, pelbagai insentif dan peruntukan disediakan bagi menarik lebih ramai agropreneur muda menyertai sektor agromakanan pada masa hadapan.

"Program ini sejajar hala tuju yang memfokuskan kepada pembangunan industri kelapa, nanas, durian, tenusu dan ruminan untuk menjana pendapatan lumayan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import,” katanya.

MOA benteng makanan negara

Bidang pertanian akan menjadi sumber rezeki baharu, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Malaysia.

Salahuddin dalam ucapannya berkata, dunia berdepan dengan kepantasan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menurutnya, sudah sampai masanya Malaysia membuat naratif yang melakar pendekatan baharu sejajar kepantasan IR4.0.

Katanya, Malaysia mesti bersedia menyediakan peluang pekerjaan baharu yang akan menyaksikan pertanian akan menjadi tumpuan dengan semua sektor akan menjadi begitu dinamik dan pertanian akan menjadi sumber rezeki baharu.

"Kita melihat potensi yang begitu jelas kerana ketika ini negara masih mengimport hampir RM50 bilion bahan makanan.

"Kita mesti bergerak pantas mengisi ruang pengimportan itu dengan memaksimumkan tanah pertanian dan tanah terbiar untuk mengurangkan balance of trade dan menjadikan Malaysia pengeksport buah-buahan ke serata dunia.

"Ia juga bagi mencukupkan makanan dari segi food security dan food safety,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, MOA juga adalah benteng makanan negara dan pihaknya menganggap petani sebagai wira negara yang setaraf dengan pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan tanah air.

"Kerana petani kita adalah mereka yang mempertahankan keselamatan negara, maka dengan itu kita ingin menyatakan MOA adalah benteng makanan negara,” katanya.

Terdahulu, HPPNK 2019 adalah usaha MOA dalam menyediakan platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mengetengahkan hasil pertanian serta teknologi terkini dan membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat dengan sektor pertanian.

HPPNK 2019 menampilkan enam kluster aktiviti termasuk makanan dan minuman, gaya hidup kesejahteraan, hasil pertanian, agro teknologi dan pembangunan modal insan.

Bertemakan Makanan Kita Masa Depan Kita, sambutan tahun ini menyasarkan seramai 500,000 pengunjung sepanjang empat hari acara berlangsung dan dijangka bakal menjana transaksi sebanyak RM30 juta.

Empayar Makanan bantu peniaga kecil jana pendapatan

SELARI dengan temanya, Makanan Masa Depan Kita, sebanyak 13 negeri bergabung dalam menonjolkan kepelbagaian rencah rasa dan budaya negeri HPPNK 2019 menerusi Empayar Makanan.

Terdapat seramai 37 pengusaha makanan termasuk peniaga food truck mempromosikan menu jualan masing-masing pada harga istimewa.

Pengusaha Perap Ceedap, Salina Aziz, 47, berkata, HPPNK 2019 memberikannya pe-luang untuk mempromosikan produk pera-pan yang diusahakannya sejak 10 tahun.

Menurutnya, dia menjual nasi rusa perap, nasi kambing perap, nasi sotong perap XL dan burger homemade daging, ayam serta kambing.

"Saya hanya berniaga di pasar tani dan ekspo anjuran agensi di bawah MOA, khususnya Lembaga Pemasa-ran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Program seperti HPPNK sangat membantu peniaga kecil seperti saya untuk memasarkan produk supaya lebih dikenali dan secara tidak langsung kami dapat menjana pendapatan,” katanya.

Salina yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur dan baru pertama kali menyertai HPPNK dibantu oleh suaminya, Shamsul Azmi Abdul Karim, 47.

Sementara itu, minuman Avocado Shake yang diusahakan Muhd Hafizan Abdullah, 48, dari Taman Baiduri, Perling di sini antara menu yang menjadi tarikan di Empayar Makanan.

Katanya, dia sentiasa memanfaatkan peluang dan platform disediakan kerajaan bagi membantu peniaga kecil sepertinya.

"Sudah empat tahun saya usahakan perniagaan ini dan FAMA banyak bantu saya," katanya.