KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta mempertimbangkan cadangan menyediakan program Rumah Sejahtera bagi pasangan muda yang baru berkahwin.
Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, pihaknya bersedia membantu kerajaan negeri dalam menjayakan program tersebut.
"Projek ini bertujuan meringankan beban pasangan muda yang baharu memulakan hidup sebagai suami isteri untuk memiliki rumah dengan pembayaran rendah.
"Kita sedang menyediakan kertas kerja berkaitan termasuk spesifikasi rumah dengan bajet bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, program ini hendaklah diberikan keutamaan kepada pasangan berusia antara 21 hingga 40 tahun menggunakan konsep sewa beli.
"Kebanyakan pasangan terbabit bekerja dan mampu membayar sewa bulan pada kadar antara RM500 hingga RM600 sebulan.
Syed Mohammad Faiz berkata, projek rumah khas itu perlu dibangunkan memandangkan harga rumah komersil mahal dan karenah yang dikenakan oleh pemaju dan institusi perbankan cukup ketat.
"Terutama kepada pekerja sektor swasta, peniaga dan penjaja yang tiada slip gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Apabila menyewa, bila-bila masa saja mereka boleh ditendang keluar oleh tuan rumah dan terpaksa berpindah-randah, ibarat pelarian di negeri sendiri atau balik menumpang rumah ibu bapa.
"Jadi, ini salah satu inisiatifnya. Saya yakin menerusi skim program itu, ia akan menjadi projek contoh sekiranya dilaksanakan kerajaan Pahang yang belum ada dibuat di mana-mana negeri di seluruh negara," katanya.