KUANTAN - Hasrat seorang juruelektrik untuk memiliki sebuah van lebur apabila tertipu dengan iklan jual beli kenderaan tidak wujud melalui laman internet.
Mangsa berusia 20 tahun dari Kemayan, Bera terpaksa menanggung kerugian RM5,000 apabila wang yang dibayar untuk pembelian kenderan tersebut lesap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat untuk membeli van jenis Perodua Rusa itu selepas melayari laman sesawang berkenaan ketika berada di rumah awal Januari lalu.
Menurutnya, mangsa yang berminat untuk membeli van yang ditawarkan pada harga RM5,000 segera menghubungi nombor penjual yang tertera untuk berurusan.
"Hasil perbincangan, mangsa bersetuju untuk membayar wang pendahuluan RM1,000 sebagai tanda jadi.
"Mangsa membuat pembayaran itu pada hari hari berikutnya melalui akaun bank yang diberikan atas nama seorang lelaki,” katanya.
Mohd Wazir berkata, pada 3 Januari, mangsa menerima pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang wanita kononnya wakil kedai kereta meminta bayaran penuh sekiranya mahukan van tersebut.
"Pada hari sama, mangsa membuat pemindahan wang RM4,000 ke akaun suspek bagi menyelesaikan bayaran seperti diminta.
"Seperti biasa, selepas bayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek namun kedua-duanya gagal dihubungi,” katanya.
Beliau berkata, menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat menguikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.