SHAH ALAM - Tular rakaman video memaparkan beberapa kenderaan tersadai dipercayai di tepi Lebuhraya Guthrie di sini akibat mengalami tayar bocor terkena paku yang bertaburan di atas jalan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada paku-paku tersebut sengaja ditabur pihak tidak bertanggungjawab atau ia tercicir daripada kenderaan.
Situasi itu dirakam dan dikongsi seorang pengguna laluan itu di Facebook yang turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab tersebut sehingga menyusahkan pengguna jalan raya.
"Ni kerja golongan yang tak ada didikan dan hati perut.
"Ada lalu malam tadi, tengok dari jauh banyak kereta dan motor berhenti tepi jalan ingat ada kemalangan," katanya.
Video tersebut yang dikongsi di laman sosial Facebook mendapat perhatian daripada umum yang meminta agar pelaku yang terbabit segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.