Guna nama ADUN Pedu untuk pinjam wang

Iklan
ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin memuat naik status di Facebook meminta rakan-rakannya berhati-hati dengan individu yang menggunakan namanya untuk meminjam wang.

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin menggesa orang ramai terutama kenalannya supaya berhati-hati dengan individu yang menggunakan nama beliau untuk berhutang.

Mohd Radzi berkata, beliau menyedari perkara itu selepas dimaklumkan beberapa rakannya pagi tadi.

Iklan
Iklan

Katanya, individu tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri menggunakan nama dan profil beliau sebelum menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp meminta wang sebanyak RM5,900.

"Mujurnya, kawan-kawan saya tidak terus menyerahkan wang berkenaan sebaliknya menghubungi saya terlebih dahulu untuk maklumat lanjut. Kes ini kali pertama berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohd Radzi turut menasihatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan taktik yang digunakan individu berkenaan untuk mendapatkan wang dan perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Mohd Radzi sudah membuat laporan polis supaya tindakan segera dilakukan.

Iklan

Berdasarkan paparan perbualan Whatshapp yang dimuat naik di akaun miliknya, individu berkenaan mendakwa tertinggal dompet dan telefon di dewan sebuah universiti lalu terpaksa menggunakan nombor lama.

Individu terbabit meminta bantuan untuk mendapatkan pinjaman RM5,900 untuk dipindahkan ke sebuah akaun dan akan diganti balik selepas solat Jumaat.

Bagaimanapun, helah itu dipercayai terbongkar apabila individu terbabit memperkenalkan diri sebagai Ustaz Mad sedangkan dia dikenali sebagai Pak Su Di dalam kalangan penduduk kampung.