Nur Sabrina korban masa, tenaga bimbing mualaf

Iklan
Nur Sabrina (kanan) menerima anugerah Guru Pembimbing Asnaf Mualaf Terbaik Selangor 2018 sempena Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam semalam.

SABAK BERNAM -"Saya bulatkan tekad mendalami Islam dan mendekati serta membimbing mereka (saudara baharu) agar tertarik dengan Islam," kata Nur Sabrina Chua Abdullah, 51.

Nur Sabrina berkata, beliau berkorban masa dan tenaga membimbing golongan saudara baharu supaya tidak tersasar dari landasan sebenar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak memeluk Islam, usaha dakwahnya tidak pernah terhenti, malah berterusan meskipun berdepan cabaran apabila dalam kalangan saudara baharu tidak mendapat bimbingan agama sempurna.

"Mualaf perlu didekati dengan cara yang betul selain hidayah yang diterima dalam pelbagai cara.

Iklan

"Berbekalkan pengalaman sebagai guru yang telah memeluk Islam, saya yakin dapat menjiwai dan mendalami insan yang perlu dijinakkan hatinya," katanya.

Nur Sabrina dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Pembimbing Asnaf Mualaf Terbaik Selangor 2018 sempena Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam semalam.

Iklan

Pada majlis itu, seramai 67 asnaf zakat diberikan penghargaan oleh LZS yang disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof Emeritus Datuk Dr Muhamad Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.

Nur Sabrina berkata, tugas sebagai Guru Pembimbing Asnaf Mualaf dilakukan pada sebelah petang selain menjalankan tugas hakiki sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar pada sebelah pagi.

"Apabila memegang dua tugas dalam satu masa, ia sebenarnya memenatkan terutamanya fizikal dan mental.

"Namun, kepenatan itu hilang melihat rakan saudara baharu menunaikan solat, membaca al- Quran dan mengamalkan ajaran Islam hasil perkongsian ilmu," katanya.

Beliau berkata, dia bersyukur dan berterima kasih pada suaminya, Mohamed Rizal Mohd Tayab yang mengenalkan Islam sewaktu menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Saya bercita-cita mencari dana bagi membawa rakan mualaf yang dibimbing bagi mengerjakan ibadah umrah selain melihat sendiri keindahan Islam dan ketenangan di Makkah dan Madinah.