GURUN - 'Dah cucuk dah ke?' kata-kata itu diulang beberapa kali oleh seorang kanak-kanak yang menyertai program berkhatan sebelum videonya tular di laman sosial.
Ragam kanak-kanak yang mencuit hati itu dimuat naik di Facebook dipercayai milik ibunya, Hafiza Hambali.
Menerusi video durasi 2 minit 23 saat itu memaparkan gelagat kanak-kanak itu yang takut ketika petugas perubatan untuk mulakan berkhatan hingga menarik perhatian ramai termasuk anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Gurun.
Melihat kanak-kanak itu gerun, cuak, anggota bomba meminta kanak-kanak itu berselawat bagi meredakan emosinya sementara petugas perubatan memulakan acara berkhatan.
Posting Hafiza turut berkongsi kisah perjalanan majlis selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis tersebut.
"Cuti sekolah dah bermula, bukan hanya musim naik pelamin tetapi juga musim berkhatan. Ini gelagat anak teruna ku ketika nak berkhatan.
"Terima kasih buat semua yang terlibat, tuan imam, ahli jawatankuasa (AJK) masjid, AJK majlis berkhatan, cikgu Johari Sekolah Kebangsaan (SK) Chempedak, bomba dan juga buat semua yang terlibat secara langsung atau pun tidak.
"Alhamdulillah majlis berkhatan yang sangat gilang gemilang," katanya majlis itu berlangsung di Masjid Arrahmah Kariah Sungai Belida di sini.
Gelagat anaknya membuatkan rata-rata netizen geli hati melihatnya dan mengimbau kenangan pengalaman mereka.
Sehingga kini, video tular itu meraih lebih 132, 000 tontonan dan lebih 2,100 maklum balas dari netizen.