547 notis amaran larangan merokok dikeluarkan

Iklan
Dr Ismail (dua, kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas menampal tanda larangan merokok di Kopitiam Ukirmall, Alor Setar. Turut sama Dr Norhizan (tiga kiri).

ALOR SETAR - Sebanyak 547 notis amaran larangan merokok dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Kedah sempena Ops Penguatkuasaan Pendidikan Kesihatan Premis Makanan (Larangan Merokok) bermula 1 hingga 6 Januari lalu.

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, 1,278 premis makanan di seluruh negeri telah dilawati setakat ini membabitkan kekuatan anggota penguatkuasa seramai 80 orang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 3,846 risalah kesedaran turut diedarkan termasuk pendidikan kesihatan kepada 3,575 individu dalam tempoh berkenaan.

"Kerajaan Kedah menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983 berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Iklan

"Tujuan pewartaan larangan merokok di semua tempat makan adalah untuk melindungi orang awam terutamanya golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok," katanya semasa melancarkan pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di Kopitiam Ukirmall, dekat sini.

Dr Ismail (tiga, kanan) bersama Dr Norhizan (dua, kanan) mengedarkan risalah kesedaran larangan merokok di premis makanan di Kopitiam Ukirmall, Alor Setar, dekat sini.

Dr Ismail berkata, sebanyak 513 kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan merokok telah direkodkan diikuti 25 kesalahan merokok di dalam kawasan larangan merokok.

Iklan

Menurutnya, penguatkuasa juga mengesan 9 kesalahan pemilik premis gagal memastikan seseorang merokok dalam premis makan mereka.

"Kami menyeru pengusaha tempat makan di seluruh Kedah supaya mempamerkan tanda dilarang merokok kerana 2,440 pengusaha telah diberikan taklimat sejak November 2018 dan sesi ini akan dilaksanakan secara berterusan.

"Kerjasama mereka yang merokok juga diperlukan mematuhi peraturan ini bagi melindungi orang awam terutamanya kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua selaras dengan komitmen Malaysia kepada Artikel 8, World Health Organization (WHO) Framework Convention On Tobacco Control (FCTC)," katanya.

Tambah Dr Ismail, operasi penguatkuasaan melalui pendidikan secara berkala akan dilakukan kepada semua premis makanan di Kedah bermula Januari hingga Jun tahun ini.

"Mulai Julai 2019, penguatkuasaan penuh dijalankan di mana mereka yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda dan hukuman seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018," katanya lagi.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.