Amaran cuaca buruk di Pahang, Kelantan dan Terengganu

Iklan
MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Isnin dengan beberapa tempat dilanda banjir.

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Isnin dengan beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu dilanda banjir.

MetMalaysia dalam satu kenyataan petang ini memberitahu, hujan lebat dijangka berterusan di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan; Hulu Terengganu di Terengganu dan Rompin di Pahang.

Iklan
Iklan

Mereka juga menjangkakan hujan lebat di Kelantan dan Terengganu serta di kawasan Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga 2 Disember.

Di Kelantan, 29 orang daripada lima keluarga di Kampung Chenulang, Kota Bharu telah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini selepas rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Iklan

Pegawai Pertahanan Awam Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanid Omar berkata, kampung berhampiran seperti Kampung Enggong, Pasir Jering, Kuala Pertang dan Kebun Pisang juga bersedia untuk menghadapi banjir.

"Kami percaya lebih banyak penduduk kampung, terutamanya yang terletak berhampiran dengan sungai akan dipindahkan kerana paras sungai dijangkakan untuk meningkat,” katanya.

Iklan

Di Terengganu, 283 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di daerah Besut dan Setiu setakat jam 2 petang.

Hujan lebat di Besut dan Setiu sejak malam semalam telah menyebabkan paras di tiga sungai di Setiu dan satu di Besut melepasi paras bahaya mengikut portal Jabatan Pengairan dan Saliran.

Dilaporkan juga beberapa sungai di daerah Hulu Terengganu dan Dungun, telah melepasi paras berjaga-jaga dan juga paras amaran. - Bernama