Malaysia, Australia meterai perjanjian usaha sama penerbitan filem

Iklan
Gobind - Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia dan Australia hari ini memeterai perjanjian usaha sama penerbitan filem di Sydney, Australia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, industri filem tempatan mendapat faedah melalui perjanjian itu yang mana produksi daripada Malaysia akan dianggap sebagai produk tempatan Australia dan dengan itu boleh menembusi pasaran negara lain yang telah menandatangani perjanjian dengan Australia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Australia telah mengadakan perjanjian usaha sama penerbitan filem dengan beberapa negara seperti Kanada, China, Singapura, Itali, Jerman dan United Kingdom.

"Ia juga akan membolehkan kerjasama kukuh yang akan membantu dalam peningkatan kuantiti dan kualiti penerbitan usaha sama antara kedua-dua negara,” kata Gobind dalam satu kenyataan di sini hari ini berhubung perjanjian usaha sama Malaysia-Australia itu.

Iklan

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Luar Australia Senator Marise Payne.

"Ini merupakan suatu inisiatif yang baik kerana ia boleh membantu industri kreatif negara kita serta membuka lebih banyak peluang dan ruang perniagaan baharu untuk penggiat-penggiat industri kita dengan Australia dan negara-negara lain yang berkaitan di masa hadapan,” katanya.

Iklan

Menurutnya, perbincangan usaha sama itu yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bermula sejak 2007 lagi tetapi tiada sebarang persetujuan rasmi dicapai, sehingga kerajaan baharu mengambil alih di mana langkah-langkah perlu telah diambil untuk menjayakan inisiatif itu.

Selain membantu pembangunan kemahiran kepada produksi tempatan menerusi perkongsian kepakaran, inisiatif itu juga dapat mengurangkan risiko kerugian melalui perkongsian kos produksi oleh penggiat kedua-dua negara, katanya.

Gobind berkata, perjanjian usaha sama itu dijangka menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan peluang pekerjaan serta pendapatan kepada syarikat produksi dan perkhidmatan sokongan produksi antaranya syarikat sewaan peralatan, industri perhotelan, syarikat katerer dan sewaan kenderaan pengangkutan.

"Ia juga memberi manfaat yang sama kepada industri sokongan lain yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri perfileman negara kita," katanya.

Gobind berkata, kerjasama itu juga membolehkan pertukaran budaya dan kreativiti antara kedua-dua negara melalui pendedahan serta peluang kepada karyawan Malaysia.

"Mereka boleh menonjolkan bakat masing-masing menerusi lakonan, pengarahan, penulisan skrip, penyuntingan dan lain-lain bidang yang berkaitan dengan industri ini juga dijangka berlaku," katanya.

Menurut Gobind, perjanjian itu juga mengambil kira mekanisme dan fasiliti layanan percukaian yang sedia ada antara kerajaan Malaysia dan Australia dan akan melibatkan aspek undang-undang dan peraturan sedia ada negara dalam aspek urusan imigresen, pengimportan dan eksport peralatan perfileman serta urusan mendapatkan kebenaran penggambaran.

"Saya berharap ia akan membantu menjana hasil yang lebih produktif dan bermakna untuk Malaysia dan Australia dalam industri perfileman kedua-dua negara," katanya yang menyambut baik perjanjian usaha sama Malaysia dan Australia itu.

Selain Australia, Gobind berkata KKMM kini sedang berbincang dengan beberapa negara lain untuk melihat prospek kerjasama untuk memperkukuhkan lagi industri perfileman negara di peringkat global di masa hadapan. - Bernama