KELAYAKAN Tujuh Sebelah Ragbi Asia/Olimpik 2020 di Korea Selatan minggu lalu disifatkan sebagai pentas terakhir menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina sebelum skuad ragbi negara (Rimau 7s) memilih 12 pemain terbaik bagi misi mempertahankan emas dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) lalu.
Ketua Jurulatih Rimau 7s, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata, secara keseluruhannya beliau bangga dengan semangat juang dan komitmen tinggi yang dipamerkan barisan pemainnya pada kejohanan kelayakan tersebut.
"Sebenarnya kami tidak meletakkan sasaran tinggi kerana kejohanan itu begitu hampir dengan saingan Sukan SEA Filipina. Sebaliknya saya gunakan kejohanan itu sebagai medan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada pasukan serta para pemain.
"Kejohanan itu juga penting kerana selain dianggap sebagai pentas pemanas badan, ia juga peluang bagi saya memantapkan keserasian dalam kalangan pemain-pemain saya sebelum ke Filipina.
"Saya cukup berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain-pemain dalam menyaingi pasukan lawan sepanjang kejohanan tersebut,” katanya.
Saingan selama dua hari di Incheon itu menyaksikan skuad negara memulakan saingan kumpulan dengan langkah kanan apabila menewaskan Taiwan 26-19 sebelum tunduk kepada Hong Kong 54-0.
Pada peringkat suku akhir Kategori Cup/Plate, skuad negara kecundang 7-32 kepada Korea Selatan sebelum menewaskan Singapura 21-7 dalam saingan separuh akhir. Bagi aksi penentuan tempat kelima/keenam, skuad negara tewas 7-14 kepada Sri Lanka.
Ditanya mengenai kecederaan yang dialami beberapa pemainnya, Saizul Hafifi berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Institut Sukan Negara (ISN).
"Buat masa ini, saya belum putuskan sama ada boleh bawa dua pemain terbabit. Bagaimanapun, senarai pemain ke Filipina adakan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Mengenai prestasi Filipina, Singapura Dan Thailand yang turut sama menyertai kejohanan tersebut, Saizul Hafifi berkata, beliau menjangkakan saingan sengit datangnya dari pencabar utama iaitu Filipina pada Sukan SEA kali ini.
"Apapun saya mahu mengingatkan pemain-pemain negara agar tidak memandang rendah keupayaan Thailand dan Singapura yang masih dianggap antara pencabar kita,” ujarnya.