Kisona nyala semangat Malaysia

Iklan
Kisona teruja diberikan kepercayaan menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Filipina 2019. -Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM

PEMAIN badminton remaja negara, S Kisona begitu teruja apabila bakal membuat penampilan sulung pada temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Bagi pemain berusia 21 tahun itu, apa yang lebih membanggakannya adalah dapat bercampur-gaul dengan pemain-pemain senior kebangsaan yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina.

Iklan
Iklan

Walaupun berbangsa India, Kisona tidak menghadapi sebarang masalah komunikasi dengan rakan-rakan berbangsa Cina. Ini disebabkan sejak kecil lagi, dia telah menerima pendidikan di sekolah Cina dan mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih.

Menurut Kisona, Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa tetapi semuanya hidup secara harmoni dan sama-sama mengejar impian untuk membawa kejayaan kepada sukan negara.

Iklan

Bersandarkan slogan Sukan SEA Manila 2019 iaitu We Win As One, semangat itulah yang ingin disemarakkan oleh Kisona dan barisan atlet Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira kaum dan agama.

"Ketika belajar di sekolah rendah Cina, kawan-kawan saya adalah Cina. Ibu bapa saya sejak dulu lagi berharap saya dapat belajar bahasa Cina kerana abang dan kakak saya juga belajar di sekolah Cina.

Iklan

"Dalam keluarga, saya adalah anak bongsu. Sebelum belajar di sekolah rendah, saya telah belajar di tadika yang bahasa penghantarnya adalah bahasa Cina. Di rumah, saya lebih kerap bertutur dalam bahasa Mandarin,”

katanya yang turut fasih berbahasa Tamil dan Inggeris.

Ketika berusia 11 tahun, Kisona memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum dipilih menyertai skuad kebangsaan. Pada 2017, Kisona merangkul kejuaraan pertama di peringkat antarabangsa apabila mengalahkan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung pada final Siri Antarabangsa Indonesia.

Kejayaannya diteruskan lagi dengan bergelar juara dalam empat lagi kejohanan peringkat antarabangsa iaitu Siri Antarabangsa Malaysia (2017), Siri Antarabangsa Indonesia (2018), Siri Antarabangsa Terbuka Hellas dan Siri Antarabangsa Sydney, kedua-duanya pada tahun ini.

Mengenai cabaran pada Sukan SEA di Manila, Kisona memberitahu, setiap atlet negara pastinya bersemangat menjulang nama Malaysia.

"Mana-mana atlet Malaysia yang mencapai kejayaan, ia adalah milik seluruh rakyat Malaysia,” katanya yang kini dibimbing jurulatih berbangsa Cina iaitu Datuk Teh Seu Bok yang pastinya dapat menurunkan segala ilmu untuk meningkatkan mutu permainan pemain muda itu.

Dari segi latihan, Kisona juga tidak menghadapi banyak masalah dari segi komunikasi. Kisona juga mampu faham dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatihnya sebelum ini iaitu Zhou Kejian dari China.

"Saya rasa bertuah saya dapat bertutur dalam bahasa Mandarin. Jika tidak, saya akan hadapi masalah ketika latihan. Kalau suruh orang lain terjemah, mungkin ia tidak dapat mencapai maksud yang hendak disampaikan,” ujarnya.