Penghormatan buat Asyraf Haikal

Iklan
Asyraf Haikal

MUHAMMAD Asyraf Haikal Muhamad Rizal menganggap dia menerima satu penghormatan apabila diberikan kepercayaan untuk mengetuai cabaran skuad ping pong negara pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Sebagai satu-satunya pemain berbangsa Melayu yang membarisi skuad ping pong negara, Asyraf Haikal, 25, menyifatkan tugas tersebut sebagai satu tanggungjawab besar untuk membawa misi kontinjen negara dalam acara itu yang sinonim dengan masyarakat Cina.

Iklan
Iklan

"Sejak kecil lagi saya sudah belajar cakap bahasa Cina. Jadi saya tidak menghadapi masalah ketika berkomunikasi dengan rakan-rakan berbangsa Cina. Kami bergaul dengan mesra dan dalam pertandingan, kami saling bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.

Tampil selaku pemain senior, dia bersemangat membantu rakan-rakan sepasukannya yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan masyarakat Cina memastikan skuad negara memberi impak positif pada temasya Sukan SEA kali ini.

Iklan

"Pasukan ping pong negara cukup mementingkan semangat berpasukan bagi memastikan misi memburu kemenangan berjaya direalisasikan. Namun, saya akui ada masanya sukar memahami penerangan daripada jurulatih negara yang berasal dari China.

"Tapi jika ada bahasa yang saya tidak faham, saya akan minta tunjuk ajar daripada rakan-rakan lain. Syukur kerana mereka juga banyak membantu saya terutamanya dalam sesi latihan,” jelasnya.

Iklan

Ketika ditanya mengenai pergaulan dengan rakan-rakan sepasukan, Asyraf Haikal berkata, hubungan mereka itu tidak hanya berlegar di gelanggang latihan tetapi juga di luar gelanggang.

"Ketika saya pergi keluar makan bersama-sama dengan mereka, mereka akan tetap memikirkan tentang saya. Mereka amat menghormati pegangan agama saya,” ujarnya lagi.

Selepas persaraan rakan karibnya, Mohd Syakirin Ibrahim daripada skuad ping pong negara dua tahun lalu, Asyraf Haikal mengakui dia kini memikul tanggungjawab lebih besar.

"Ketika ini, sayalah pemain paling senior. Saya mempunyai tanggungjawab untuk membimbing pemain-pemain muda. Walaupun mereka tidak sebangsa dengan saya, kami tetap bersatu padu untuk memastikan kemenangan kepada negara,” katanya.

Sebagai rekod, Asyraf Haikal berjaya menyumbang pingat gangsa dalam tiga penampilannya di pentas Sukan SEA mulai edisi 2013, 2015 dan 2017.