KUANTAN - Individu kematian suami yang mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang dinasihatkan merujuk pejabat Perkeso untuk membuat tuntutan.
Pengarahnya, Tarmizi Mokhtar berkata, masih ada beberapa kes melibatkan balu yang tidak tahu bahawa mereka berhak menerima faedah caruman arwah suami mereka.
"Ada balu yang beberapa tahun kematian suami baru saja mendapat tahu mereka layak terima tuntutan Perkeso," katanya ketika dihubungi.
Tarmizi berkata, seramai 4,941 pencarum di negeri ini menerima manfaat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan lebih RM22 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2019.
Menurutnya, daripada jumlah itu juga sebanyak RM7.4 juta dibayar kepada penerima faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, pencen ilat, pencen penakat, faedah pengurusan mayat dan bayaran ganti belanja.
Bagaimanapun katanya, jumlah berkenaan dijangka akan bertambah Disember ini kerana ada beberapa kes sedang diproses.
Sementara itu katanya, terdapat permohonan untuk memberi bantuan kepada mereka yang melebihi syarat iaitu berusia 60 tahun ke atas.
"Untuk makluman kita sentiasa mengkaji keperluan pekerja dan majikan dari semasa ke semasa dan cadangan berkenaan akan dimaklumkan kepada pihak berkaitan," jelasnya.
Tarmizi turut mengingatkan majikan untuk mendaftar pekerja mereka bagi mengelakkan tindakan kompaun maksima RM5,000.
"Majikan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang yang mana denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika gagal berbuat demikian," katanya.