Semangat skuad takraw negara

Iklan
Hairul Hazizi Haidzir

KETUA Jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad optimis barisan pemainnya mampu menjelmakan impak positif pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Menurutnya, adunan pemain yang dibawa bagi menghadapi temasya Sukan SEA kali ini dijangka sekali lagi berupaya memberikan cabaran sengit kepada pencabar mereka terutamanya musuh tradisi, Thailand.

Iklan
Iklan

"Jadi saya yakin pemain-pemain yang diberikan kepercayaan membawa misi skuad negara sememangnya bersemangat membuktikan kemampuan masing-masing dalam menggalas cabaran dan tanggungjawab diberikan kepada mereka.

"Saya juga percaya mereka yang diberikan tanggungjawab pada Sukan SEA Filipina ini akan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan demi mengharumkan nama negara.

Iklan

"Dalam kalangan mereka juga sudah ada yang berpengalaman beraksi pada peringkat seperti ini seperti Said Ezwan Said De, Hairul Hazizi Haidzir dan Ahmad Aizat Nor Azmi,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Abdul Talib menyenaraikan seramai 12 pemain terbaik bagi menghadapi temasya dwitahunan berkenaan melibatkan lima tekong, empat perejam dan tiga pengumpan.

Iklan

Mengakui bahawa cabaran tidak hanya datang dari pesaing utama, Thailand, Abdul Talib juga tidak mahu anak-anak buahnya memandang mudah keupayaan lawan lain seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dan Singapura.

"Secara keseluruhannya, pemain-pemain sudah bersedia aspek mental dan fizikal bagi mengharungi Sukan SEA kali ini. Namun, mereka kena ingat pasukan yang hadir ke Filipina pasti mahu membawa pulang kejayaan dan sudah semestinya akan berjuang berhabis-habisan.

"Jadi saya mahu pemain-pemain fokus sepanjang perlawanan dan paling penting tidak mengambil mudah saingan daripada setiap pasukan lawan yang bertanding,” ujarnya.

Dalam acara sepak takraw yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 10 Disember ini, skuad negara bakal bertanding dalam dua acara iaitu regu dan regu berpasukan.

Skuad negara tampil selaku pemenang pingat emas acara regu pada temasya Sukan SEA edisi 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Thailand tidak menyertai acara tersebut pada kedua-dua edisi Sukan SEA berkenaan.