SHAH ALAM - Kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menunjukkan wujudnya protes bukan sahaja daripada pengundi malah melibatkan penjawat awam juga.
Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian berkata, peralihan undi penjawat awam yang tidak mengundi kerajaan memerintah merupakan petanda wujudnya protes besar-besaran kepada PH.
"Walaupun ditawarkan pembangunan, ditawarkan pelbagai imbuhan dan sebagainya, itu seolah-olah ditolak masyarakat di situ ketika kempen pilihan raya. Sudah pasti ada protesnya. Kita lihat ada penambahan undi kepada BN, itu menunjukkan perubahan besar.
"Saya rasa, protes paling besar adalah dalam kalangan masyarakat Tionghua. Barangkali itu satu isyarat kepada DAP bahawa banyak tidak dilakukan, janji tidak ditepati malah apa yang berlaku seolah-olah angkuh selepas berkuasa.
"Apakah mereka hanya mampu menjadi pembangkang dan tidak mampu menjadi pentadbir urus di peringkat pusat, di peringkat negeri. Barangkali itu dilema yang sedang dihadapi PH," katanya sebagai panelis pada Wacana Sinar Siri ke-142 bertajuk Pasca Tanjung Piai: Pilihan atau Protes? yang berlangsung di Dewan WUI, Kumpulan Media Karangkraf di sini malam kelmarin.
Turut menjadi panelis ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Presiden Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong; dan penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, manakala Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, Sivamurugan berkata, rakyat Malaysia khasnya para pengundi harus melihat sejauh mana protes yang digambarkan itu akan menjadi kekal atau berubah kepada perubahan yang berlaku.
"Sekelip mata selepas pasca pilihan raya ini, ada mahu adakan rombakan Kabinet, ada yang mendesak peralihan kuasa tapi yang lebih penting adalah sejauh mana kegagalan untuk menyampaikan apa yang sebenarnya harus disampaikan sepanjang 18 bulan.
"Dalam pilihan raya kecil itu, PH seolah-olah bersikap defensif berbanding BN yang dilihat lebih bersifat ofensif. Selalunya, ia berlaku sebaliknya. Di sini kita lihat isu-isu yang dibawa menyebabkan PH menjadi defensif untuk mempertahankan isu-isu yang dibawa.
"Saya rasa kalau ditanya kepada pengundi, tujuh atau lapan daripadanya akan mengatakan ini adalah ‘wake up call’ bukan saja kepada PH tapi kepada BN.
"Kepada PH, saya percaya ia adalah isyarat kepada DAP supaya jangan ambil mudah pengundi Tionghua dan BN juga tidak boleh merasa selesa, merasakan masyarakat Cina sudah kembali kepada BN,” katanya.
Politik berasaskan kaum tidak salah
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia harus menerima hakikat politik di Malaysia berasaskan kaum dan tidak menjadi masalah sekiranya UMNO mahu berjuang untuk orang Melayu dan parti lain berjuang untuk kaum mereka.
Begitupun, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abd Aziz berkata, politik sedemikian tidak menjadi kesalahan namun yang menjadi kesalahan adalah apabila sesetengah pihak mengamalkan politik perkauman.
Menurutnya, politik berasaskan kaum bermakna pemimpin boleh duduk semeja, meletakkan semua agenda masing-masing dan berpakat untuk kepentingan nasional.
"Kita kena menerima hakikat bahawa politik di Malaysia adalah berasaskan kaum, tidak menjadi masalah. UMNO berjuang untuk orang Melayu, MCA berjuang untuk orang Cina, itu tidak menjadi masalah, kita boleh berpakat untuk kepentingan nasional.
"Tetapi jangan amalkan politik perkauman, bagi saya 60 tahun Barisan Nasional memerintah, ada juga berlaku perkara sebegitu. Kita kena berfikir tentang politik berasaskan kaum tapi boleh duduk satu meja, kita letakkan semua agenda kita dan kita berpakat.
"Seperti lebih 60 tahun dengan formula kerajaan BN, kita dapati negara begitu aman. Yang menyebabkan berlakunya ketegangan pada hari ini, pertegangan kaum disebabkan Pakatan Harapan (PH).
"Pengundi yang saya jumpa di Tanjung Piai baru-baru ini, rata-rata memang menyampah dengan PH. Lim Kit Siang baru-baru ini kata adalah mustahil untuk PH menunaikan janjinya. Ini bermakna PH berbohong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Mereka menang dengan berbohong dan mereka cuba berbohong lagi dalam PRK Tanjung Piai. Saya rasa dalam PRK tersebut, ia melibatkan pilihan dan protes daripada pengundi," katanya.
Restui calon MCA demi perkukuh kerjasama Muafakat Nasional, BN
Tanggungjawab menggabungkan kerjasama Muafakat Nasional dan mengekalkan hubungan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) menjadi titik tolak UMNO merestui peletakan calon MCA bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, UMNO Johor mengakui parti itu sudah mengenal pasti calon-calon dari parti itu untuk bertanding pada PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum itu.
Menurutnya, cadangan awal peletakan calon Melayu hasil desakan penduduk Melayu di Parlimen Tanjung Piai yang teruja dengan kerjasama Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO di samping keyakinan kerjasama itu mampu memenangkan semula Johor dari tangan Pakatan Harapan (PH).
"Melihat kaedah penentuan kawasan bertanding di negeri Johor, kita dapat lihat kawasan majoriti pengundi Melayu adalah lebih 50 peratus meskipun banyak kawasan dianggap campuran.
"Pada peringkat awal hendak menjayakan Muafakat Nasional, kita melihat keyakinan pengundi khususnya orang Melayu semakin tinggi terhadap UMNO dan Pas sehingga ada desakan meletakkan calon orang Melayu.
"Jadi kita mencuba dan mengenal pasti calon UMNO namun sehingga saat akhir, kita memilih untuk meletakkan calon MCA kerana saya berasa tanggungjawab untuk mencari jawapan kaedah penterjemahan Muafakat Nasional dengan cara lebih baik bermula dengan negeri Johor," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, peratus rakyat antikepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditunjukkan pada PRK Parlimen Tanjung Piai jauh lebih tinggi berbanding PRU14.
"Gambaran jelas itu dapat dilihat berdasarkan jumlah kehadiran hambar pengunjung pada program ceramah perdana calon PH sempena PRK Parlimen Tanjung Piai dihadiri Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH.
"Beberapa kajian dibuat sebelum 2 November lalu (hari penamaan calon) dan rata-ratanya menunjukkan kadar peratusan ketidakyakinan penduduk Tanjung Piai terhadap kepimpinan Dr Mahathir jauh lebih tinggi kali ini.
"Bilangan hadirin dianggarkan 3,000 orang itu pun dikenal pasti bukan orang tempatan sekali gus menunjukkan rakyat Parlimen Tanjung Piai tidak yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir mentadbir negara ini," katanya.
Menteri PH lebih kelakar daripada peserta Maharaja Lawak
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan kekalahan teruk calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan protes rakyat terhadap prestasi menteri-menteri kerajaan sedia ada.
Lebih melucukan, Setiausaha Agungnya, Mak Kah Keong turut mendedahkan maklum balas rakyat Tanjung Piai menyifatkan menteri-menteri kerajaan PH mempunyai kualiti mengecewakan dan lebih kelakar daripada peserta Maharaja Lawak.
"Bagi saya memang satu protes... Memang banyak maklum balas daripada rakyat memberitahu banyak kualiti menteri-menteri PH memang mengecewakan dan kelakar," katanya.
"Protes kedua rakyat disebabkan kerajaan PH cakap tidak sama bikin, dulu pendidikan percuma, sekarang komik sahaja percuma, ingat anak kita Nobita ke? Apa kita dapat dengan komik yang penuh pengisian tidak berfaedah dan memesongkan pemahaman murid-murid?
"Protes ketiga adalah keangkuhan menteri PH... apabila PH ambil alih banyak peruntukan dan subsidi dikurangkan terutama TAR UC yang dikaitkan dengan MCA.
"Kini baru saya percaya PH amalkan diskriminasi terhadap mereka yang latar belakang politik berbeza.
"Bagi saya, pengundi Parlimen Tanjung Piai berharap apa dijanjikan direalisasikan.
"Jangan setakat cakap sahaja, rakyat hendak beri satu pengajaran kepada PH (pada PRK Parlimen Tanjung Piai)," katanya.