KUANTAN - Eksesais Anti-Rompakan di Laut dan Carilamat Siri 3/2019 antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mencapai objektif.
Eksesais di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) di sini sejak 25 November lalu berakhir semalam bukti kerjasama erat antara APMM dan TLDM dalam memerangi jenayah rompakan dan carilamat di laut.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, eksesais bersepadu kali ketiga itu berkonsepkan Table Top (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) iaitu latihan pada peringkat tertinggi dan latihan di lapangan.
Menurutnya, eksesais kali ini lebih tertumpu ke arah peperangan konvensional asimetrik, operasi keselamatan maritim dan operasi mencari dan menyelamat, selain penglibatan lebih banyak aset berbanding eksesais yang dijalankan sebelum ini.
"Pada eksesais yang dijalankan di sekitar perairan Laut China Selatan kali ini, pelbagai aset dan pasukan terlibat antaranya Kapal KD Pendekar, KD Perdana, KM Pekan dan KM Gemia.
"Turut digerakkan dua bot maritim jenis Penggalang 19 dan CB90 101, dua helikopter, jenis AW 139 dan AS365N3. Selain itu, turut serta di dalam eksesais ini pasukan elit dari Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM dan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Amran berkata, eksesais itu juga disokong dengan penglibatan oleh pasukan forensik APMM dan Pusat Operasi MAWILLA 1 serta APMM Pahang.
"Eksesais ini merupakan kali yang pertama pelaksanaan siri latihan mempunyai elemen peperangan asimetrik, konvensional, navigasi dan ilmu kelautan dalam meningkatkan kesefahaman antara TLDM dan APMM.
"Melalui termeterainya Prosedur Tetap (PROTAP) APMM-TLDM sejak 9 September 2016, ia menjadi sumber rujukan kepada dua agensi ini dalam melaksanakan operasi dan eksesais bersama.
"PROTAP membantu APMM dan TLDM memastikan operasi yang dilaksanakan lebih teratur dengan koordinasi yang lebih baik," katanya.
Amran berkata, objektif keseluruhan eksesais itu berjaya dicapai dan beliau bangga dengan komitmen serta kerjasama kedua pihak dalam memastikan kejayaan eksesais tersebut.