KUALA LUMPUR - Negara-negara Islam mempunyai kebolehan, kekuatan dan mampu bersaing dengan negara maju yang lain namun tidak mempunyai kemahuan untuk melakukannya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, perkara itu menyebabkan mereka dilihat lemah dan mengakibatkan umat Islam terus ditindas, dikuasai dan dizalimi oleh orang lain.
"Dengan jumlah 52 negara Islam di dunia ini, tidak ada satu pun dianggap negara maju, apakah ini kerana larangan daripada agama kita supaya kita tidak maju? Apakah ini bermakna bahawa orang beragama Islam tidak maju, tidak dibenarkan maju?
"Saya ingin jelaskan bahawa kita mampu bersaing dengan mereka. Kita sama dengan orang asing ini...daripada segi kebolehan akal fikiran tapi kita tidak gunakan kurniaan ALLAH SWT itu dengan cara baik...dengan cara yang membolehkan kita melindungi agama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-58 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kali ke-58 di sini hari ini.
Mengambil contoh Korea Selatan, Dr Mahathir berkata, negara itu yang suatu masa dahulunya berada di belakang Malaysia daripada segi pembangunan pentadbiran kini jauh berada di hadapan dengan pendapatan perkapitanya tiga kali ganda daripada negara ini.
Katanya, perkara itu antara lain didorong faktor penguasaan ilmu khususnya ilmu berkenaan pembangunan industri sehingga menjadikan mereka salah satu negara termaju di dunia.
"Apabila saya bandingkan negara kita dengan Korea dengan negara-negara Islam yang lain, saya berasa amat kecewa kerana kebolehan kita tidak kurang. Tapi oleh kerana kesilapan kita membuat tafsiran tertentu maka kita tidak dapat capai kemajuan seperti Korea dan lain-lain.
"Saya berpendapat yang salah bukan agama kita...agama tidak larang kita cari kekayaan asalkan kita mencari kekayaan secara halal dan kita guna kekayaan kita untuk bersedekah untuk membantu mereka yang lemah," katanya.
Beliau berkata, sebenarnya segala konflik yang melanda di negara-negara Islam ketika ini boleh diselesaikan jika kembali kepada ajaran sebenar berpandukan kepada al-Quran.
Mengambil kira senario yang melanda ketika ini, Dr Mahathir berkata, adalah amat sedih melihat orang Islam di Myanmar misalnya dihalau keluar dari negara mereka manakala di dunia Arab umat Islam di sana lari daripada negara mereka untuk mendapatkan perlindungan di negara lain.
"... dengan pengakuan bahawa kita tidak mampu pun mentadbir dengan baik negara kita... Ini adalah kesalahan kita kerana kita tidak patuh kepada ajaran agama Islam seperti terdapat dalam al-Quran. Saya harap kita di sini ambil ingatan," katanya.
Beliau berkata, satu masa dahulu, ada negara Islam yang dianggap maju dan kuat dan tiada siapa pun yang dapat menekan umat Islam ketika itu tetapi senarionya berbeza pada hari ini.
"Apabila hal ini berlaku kita patut tanya kepada diri kita sama ada kita patuh atau tidak dengan ajaran Islam. Ajaran Islam memerlukan kita melengkapkan diri dengan tombak, pemanah namun hari ini ia tidak boleh digunakan, tidak mampu pertahankan umat Islam.
"Kita perlu ada alatan canggih seperti yang digunakan oleh musuh kita...tapi untuk itu kita tidak ada keupayaan...membina dan membekal diri kita dengan alatan untuk mempertahankan umat Islam...secara langsung kita tidak dapat lindungi umat Islam seperti dikehendaki oleh agama kita," katanya. - Bernama